Isnin, 12 Mei 2014

Datuk Huan umum bertanding di Bukit Gelugor

Ketika desas-dusus bertiup kencang bahawa mungkin Barisan Nasional (BN) tidak bertanding dalam pilihanraya kecil Parlimen Bukit Gelugor... tiba-tiba pagi Jumaat, Naib Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM) Datuk Huan Cheng Guan mengumumkan secara rasmi hasrat beliau untuk bertanding di situ 12 Mei ini.
PCM bukan komponen BN, tapi umum tahu parti itu dikira mesra BN.
Huan sendiri bukan orang baru dalam politik, bekas Naib Presiden Gerakan dan Ahli Parlimen Batu Kawan ini  mengumumkan hasrat itu dalam sidang media khas di pusat khidmat PCM di Air Itam Pulau Pinang.
 
"Saya akan bertanding di Bukit Gelugor dan saya menggesa orang ramai yang tidak puas hati dengan pentadbiran DAP di Pulau Pinang mengundi saya.
 
"Sebagai underdog, saya tidak merasa tertekan," katanya.

Menurutnya, untuk persediaan menghadapi PRK itu,beliau akan membentangkan manifesto pilihan raya dan slogan yang akan digunakannya nanti pada hari penamaan calon, Isnin depan.
Huan juga merupakan Presiden Sensible and Ethical Malaysians United Troopers (SEMUT), NGO yang memantau media sosial di Malaysia.
PRK Bukit Gelugor diadakan selepas terdapat kekosongan kerusi parlimen apabila penyandangnya, Karpal Singh meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya pada 17 April lalu. 



Naib Presiden PCM timbang tanding PRK Bukit Gelugor

Naib Presiden Parti Cinta Malaysia Datuk Huan Cheng Guan sedang 'berkira-kira' untuk menawarkan diri sebagai calon pilihanraya kecil Parlimen Bukit Gelugor Mei ini.

Menurut bekas Ahli Parlimen (Gerakan) Batu Kawan itu beliau sedang mempertimbangkan perkara tersebut sedalam-dalamnya.
"Jika bertanding, saya akan umumkan manifesto pilihanraya saya pada hari penamaan calon,"katanya dalam satu kenyataan Isnin.
Huan merupakan bekas Naib Presiden Gerakan sebelum keluar dan bersama-sama mengasaskan PCM pada 2009.
Beliau pernah menjadi Ahli Parlimen Batu Kawan pada 2004 sehingga 2008.
Untuk BN, kerusi tersebut milik MCA dan sehingga kini masih belum diputuskan siapakah yang akan mewakili BN.
Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak Jumaat lalu memberitahu, BN maih belum membincangkan mengenai calon PRK Bukit Gelugor.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 25 Mei sebagai hari mengundi untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) di Parlimen Bukit Gelugor manakala penamaan calon ditetapkan pada 12 Mei ini.
Pilihan raya itu diadakan ekoran kematian penyandangnya Karpal Singh, dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 306.1 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Gua Tempurung di Kampar, Perak pada 17 April lepas.
Pada pilihan raya umum Mei 2013, Karpal Singh, 74, menang kerusi itu dengan majoriti 41,778 undi menewaskan calon Barisan Nasional, Teh Beng Yeam.-28/4/2014

Tiada ulasan: