Sabtu, 10 Mei 2014

RM2.24b dari Petronas dalam lima tahun

KUCHING: Sarawak dianggarkan menerima nilai kontrak keseluruhan RM2.24 bilion daripada Petronas bagi industri minyak dan gas sejak lima tahun lepas.

Menteri Muda Pembangunan Perindustrian (Pembangunan Estet Perindustrian) Datuk Peter Nansian Ngusie berkata, nilai keseluruhan berkenaan dicatatkan sejak 2010 sehingga suku pertama tahun ini.

Pada tahun 2010, sebanyak RM111.84 juta diberikan sementara 2011 (RM1,084.97 juta), 2012 (RM316.59 juta), 2013 (RM653.95 juta) dan Januari hingga Mac 2014 (RM71.42 juta).

“Tender kontrak ini dibuka kepada semua pemegang lesen vendor Petronas tanpa mengira negeri mereka.

“Pemilihan kontraktor dibuat melalui proses membida yang kompetitif, yang dinilai berdasarkan permintaan projek dan teknikal serta harga tawaran yang berdaya saing,” katanya ketika ditemui pemberita selepas persidangan DUN di sini, semalam.

Nansian menjawab pertanyaan Dr Annuar Rapa’ee (BN-Nangka) berhubung jumlah nilai kontrak yang diberikan Petronas kepada Sarawak sejak lima tahun lepas.

Tambah Nansian, bagaimanapun mungkin terdapat beberapa tender yang khusus dengan memperuntukkan penyertaan bagi syarikat tempatan di negeri ini.

Katanya, kontrak yang diberikan adalah bersifat teknikal intensif yang memerlukan kecekapan teknikal dan pengalaman.

Nansian turut memberitahu setakat ini Petronas telah melantik 80 usahawan dari Sarawak terlibat dalam aktiviti perdagangan runcit atau stesen minyak Petronas di seluruh negeri ini.

“Setakat 2 April 2014 pula, sebanyak 310 daripada 315 syarikat dari Sarawak yang berlesen atau berdaftar dengan Petronas (iaitu 98 peratus) adalah terdiri daripada syarikat Bumiputera,” katanya.


Posted via Blogaway

Tiada ulasan: