Isnin, 19 Mei 2014

TERAS diharap atasi kemelut SPDP, SUPP

KUCHING: Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah berharap penubuhan Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS) dapat menyelesaikan kemelut politik dua parti komponen Barisan Nasional (BN), SPDP dan SUPP.

Meskipun masih terlalu awal untuk membuat pandangan terhadap parti baharu itu, beliau berkata sekiranya itu jalan terbaik untuk mengukuhkan jentera BN Sarawak, ia adalah langkah yang baik.

“Bagi kita dalam BN apa yang menjadi keutamaan kita adalah kekuatan parti, sekiranya pengwujudan parti baharu ini dapat menyelesaikan masalah, kita akan menyokong,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkara itu pada sidang media sempena Hari Ibu di pejabatnya di Bangunan Baitulmakmur di sini Jumaat lalu.

Fatimah berkata kesatuan parti komponen BN adalah satu keutamaan bagi menghadapi pilihan raya nanti yang dijangka ‘hangat.’

“Saya melihat pilihan raya nanti adalah satu tugas gentir yang perlu dipikul, sebab itu semua jentera parti BN perlu bersiap sedia untuk memastikan kita terus memerintah,” tegasnya.

Ditanya sama ada tindakan menubuhkan parti baharu itu akan menjejaskan hubungan antara parti komponen lain, Fatimah bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenainya.

“Ia masih terlalu awal untuk membuat pandangan, kita lihat dahulu respons baharulah kita tahu,” ujarnya.

Tiada ulasan: