Isnin, 19 Mei 2014

Wanita dan Pemuda SPDP mengikuti jejak Mawan

Seramai 10,000 ahli Wanita, 5,263 ahli Pemuda Wilayah Selatan semalam umum keluar parti, sertai TERAS  

KUCHING: Sekitar 10,000 ahli Wanita dan 5,263 ahli Pemuda Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) Wilayah Selatan semalam mengumumkan keluar parti bagi mengikuti bekas presiden mereka Tan Sri William Mawan Ikom menyertai Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS).

Pengumuman keputusan tersebut dibuat menerusi kenyataan bersama oleh bekas Setiausaha Agung Wanita SPDP Olivia Chan dan bekas Setiausaha Agung Pemuda SPDP Khairuddin Abdul Kadir.

Menurut Olivia, ahli-ahli Wanita yang keluar parti itu adalah dua pertiga daripada bilangan keseluruhan ahli Wanita SPDP Wilayah Selatan.

“Daripada 15 bahagian Wanita SPDP Wilayah Selatan, 10 bahagian telah mengambil keputusan untuk keluar parti bermula hari ini (semalam) bagi menyertai presiden kami di dalam TERAS,” katanya.

Manakala Khairuddin berkata barisan ahli yang keluar parti adalah melibatkan 16 ketua Pemuda daripada Wilayah Selatan serta 10 exco yang mewakili 5,263 ahli atau satu pertiga daripada populasi Pemuda SPDP.

“Dengan itu, kami tidak lagi bersama SPDP tetapi akan menyertai TERAS dan ini adalah untuk memastikan bahawa haluan kami adalah selari dengan haluan BN,” katanya.

Sepuluh bahagian Wanita SPDP Wilayah Selatan yang mengambil keputusan itu adalah Pending, Batu Lintang, Satok, Muara Tuang, Bengoh, Tarat, Opar, Tanjung Datu, Kedup dan Tebedu.

Manakala bahagian Pemuda SPDP Wilayah Selatan adalah daripada Opar, Tasik Biru, Tupong, Samariang, Pending, Batu Lintang, Bengoh, Tarat, Tebedu, Kedup, Simanggang, Kalaka, Krian, Pakan, Piasau dan Pujut.

Justeru, Khairuddin berkata pihaknya mengemukakan keputusan tersebut kepada setiausaha agung parti hari ini.

Sementara itu, beliau menambah keputusan Wanita dan Pemuda SPDP Wilayah Selatan itu juga akan diikuti oleh bahagian-bahagian lain dalam masa terdekat.

Tiada ulasan: