Selasa, 24 Jun 2014

Pegawai kanan nikmati semula elaun keraian mulai 1 Julai 2014

PUTRAJAYA - Bermula 1 Julai ini, para pegawai kanan kerajaan gred 54 ke atas akan menerima semula imbuhan tetap keraian pada kadar asal tanpa sebarang pengurangan.‎

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa berkata, ‎‎ia berikutan langkah kerajaan melaksanakan pindaan Pekeliling Perbendaharaan Bil. 2 Tahun 2014 ke atas Imbuhan Tetap Keraian, kemudahan tol dan kelayakan tiket penerbangan para pegawai kanan perkhidmatan awam.

Menurutnya, para pegawai kanan kerajaan ‎akan menerima semula nilai maksimum bayaran tol sebanyak RM500.

"Bagi penerbangan domestik, pegawai gred 53 hingga JUSA (Jawatan Utama Sektor Awam) C atau setaraf berkelayakan dinaik taraf ke kelas perniagaan.

"Untuk penerbangan luar negara melebihi empat jam yang menggunakan khidmat Malaysia Airlines (MAS), pegawai gred 54 dan ke bawah layak mendapat kemudahan dinaik taraf ke kelas perniagaan," katanya ketika menyampaikan ucapan dalam majlis perjumpaan Ketua Setiausaha Negara dengan pegawai perkhidmatan awam di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140624/dn_27/Pegawai-kanan-nikmati-semula-elaun-keraian-mulai-1-Julai#ixzz35YVUFd6v
© Utusan Melayu (M) Bhd


Posted via Blogaway

Isnin, 23 Jun 2014

Apabila CEO Petronas bersuara diantara hakikat atau persepsi


SETELAH sekian lama membisu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Petronas, Tan Sri Shamsul Azhar Abbas akhirnya menjawab kemelut yang melanda syarikat minyak dan gas nasional yang sepatutnya bertanggungjawab memayungi ekonomi bangsa Melayu.

Beliau memilih memberitahu umum mengenai pendiriannya menerusi akhbar berbahasa Inggeris, The Edge (Weekly Edition) dengan menyindir kerajaan dan syarikat korporat Melayu secara terbuka sambil mendakwa Petronas bukannya GLC hak milik Bumiputera atau Melayu, sebaliknya ia adalah milik seluruh rakyat Malaysia berbilang bangsa, keturunan dan agama.

Beliau memberitahu kerajaan supaya tidak campurtangan dalam urusan Petronas terutama dalam agihan kontrak berbilion ringgit kerana pihaknya mengutamakan keupayaan dan professionalisme, bukannya syarikat yang ada hubungan rapat (well-connected) dengan kerajaan atau tokoh politik tertentu.

Tan Sri Shamsul Abbas membuat kenyataan kontroversi mengenai Petronas dan Melayu.

Tan Sri Shamsul membuat kenyataan kontroversi mengenai Petronas dan Melayu.

Sebelum ini Shamsul dikecam umum kerana disyakki bersekongkol dengan pihak tertentu dalam melaksana agenda merencatkan ekonomi bangsa Melayu.

Ini berdasarkan situasi ekonomi terkini yang menyaksikan banyak syarikat Melayu dalam industri minyak dan gas asli telah terpinggir atau dipinggirkan oleh Petronas.

Malahan perletakan jawatan Tun Dr. Mahathir Mohamed sebagai penasihat Petronas juga dikatakan ada kaitan dengan peminggiran Melayu di dalam agihan kontrak.

Banyak pihak merungut, antaranya Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) yang lantang mendakwa Shamsul telah mengurangkan vendor Melayu dari 74 kepada sembilan syarikat sejak beliau ambilalih pengurusan Petronas.

Minggu lalu, Shamsul membuat kenyataan media mengenai kemelut itu dengan mendakwa beliau akan terus mempertahankan dasar profesionalisme dan kebebasan mutlak dalam mengendalikan perniagaan Petronas.

Katanya, beliau mahu melindungi kepentingan syarikat minyak nasional daripada sebarang tekanan politik dengan mengamalkan kaedah bidaan terbuka (open bidding) apabila menawarkan kontrak berkaitan minyak dan gas dengan alasan ia dapat mengurangkan kos Petronas.

Malahan, dia tidak akan tunduk atau `kow tow’ kepada mana-mana tekanan politik untuk memberi peluang perniagaan kepada syarikat korporat yang gagal membuktikan kebolehan mereka (unproven records).

Pada temubual dengan akhbar berbahasa Inggeris itu, Shamsul berkata beliau tidak mahu Petronas menjadi mangsa ketamakan `well-connected contractors‘ untuk mendapatkan kontrak sedangkan mereka tidak mempunyai kebolehan teknikal yang diperlukan dalam kegiatan carigali minyak dan gas asli.

“Amat sukar untuk melakukan kerja dengan jujur ​​setiap hari. Anda kena habiskan banyak masa terhadap pekara yang jauh daripada fungsi sebenar (mentadbir Petronas).

“Bukan hanya orang luar (yang menyulitkan keadaan) tetapi juga orang dalam kerajaan, iaitu birokrat. Gangguan birokrasi membuatkan tugasan menjadi semakin sukar,” dakwa Shamsul.
CEO Petronas itu mendakwa beliau menghadapi kesulitan sejak mengambil tampuk pengurusan syarikat daripada Tan Sri Hassan Marican pada 2010.

Antara tindakan Shamsul yang telah membuat kerajaan gelisah ialah menghadkan dividen dibayar kepada Kerajaan Persekutuan sebanyak 30 peratus daripada keuntungan bersih Petronas bermula 2013 dan seterusnya.

Tindakan itu juga telah menimbulkan kemarahan ramai pemimpin UMNO dan koprorat Melayu yang merasakan bahawa peneraju Petronas perlu sedar diri dan faham dengan fungsi hakiki GLC yang ditetapkan dalam Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Tetapi Shamsul membidas semula kritikan umum dengan berkata: “Kita (Petronas) memerlukan wang untuk berkembang. Jika kita kekal statik dan pengeluaran terus berkurangan, dalam masa 13 tahun kita mungkin akan tutup kedai.”

Kebanyakan kemelut yang Shamsul hadapi sepanjang tempoh menjadi CEO Petronas dikatakan berpunca daripada segelintir syarikat korporat yang ada hubungan baik dengan kerajaan tetapi tewas pada bidaan terbuka (open bidding) bagi beberapa projek bernilai tinggi yang ditawarkan oleh Petronas.

Pada masa yang sama kebanyakan syarikat di bawah program pembangunan vendor Petronas juga tidak berpuas hati dengan tindakan Shamsul yang menutup periuk nasi mereka dengan menamatkan projek tetap untuk mereka.

Shamsul pula mendakwa beliau berbuat demikian kerana ada di antara syarikat itu menambahkan kos sebanyak 48 peratus, sekaligus menjadikan margin sangat besar.
“Saya juga orang Melayu dan saya bangga menjadi Melayu. Anda rasa saya tidak mahu membantu bangsa saya sendiri? Sudah tentu saya mahu membantu mereka, tetapi dengan cara yang betul – bukan perlu disudukan, ” dakwa Shamsul.

Kekecewaan Shamsul boleh dirasai dari petikan-petikan berikut yang diambil daripada akhbar The Edge, antaranya: “Semua orang boleh melihat bahawa kita di Petronas menghadapi tekanan yang besar. Kami berbangga dengan memberitahu seluruh dunia, memberitahu seluruh rakyat Malaysia bahawa kita merupakan satu daripada 500 syarikat yang meraih keuntungan tertinggi di dunia, tetapi adakah kita berkelakuan seperti satu daripada syarikat itu? “

“Inilah kemelut yang sedang kami hadapi, berusaha memerdekaan diri daripada kongkongan, supaya pada akhirnya kita dinilai dari segi prestasi dan keupayaan, tanpa sesiapa yang perlu memberitahu atau mengarahkan apa yang perlu kita dilakukan atau agihkan projek kepada semua pihak yang telah ditentukan.”

“Kerajaan mahu kita menjadi sebuah syarikat minyak terkemuka dunia yang setanding dengan Shell dan ExxonMobil, jadi kami cuba menjadi seperti mereka. Tetapi Shell dan ExxonMobil tidak diganggu oleh kerajaan mereka.”

“Dalam Akta Pembangunan Petroleum amat jelas – minyak dan gas asli adalah milik semua rakyat Malaysia. Ia tidak mengatakan minyak dan gas hanya milik bumiputera, ia tidak mengatakan sedemikian… ia mengatakan hak semua rakyat Malaysia, ia boleh menjadi milik kerajaan, ia juga boleh menjadi milik pembangkang, ia milik sesiapa saja … dan kita (rakyat) adalah penjaga aset itu. “

“Ia adalah amanah, diamanahkan. Perkataan amanah itu sangat kuat. Sebagai seorang Muslim, adalah menjadi dosa besar jika saya menyalahgunakan prinsip amanah.

“Kita berhadapan dengan ahli-ahli politik, mereka bercakap satu perkara tetapi melakukan pekara yang lain, ia begitu menyukarkan, ia begitu mengecewakan,” dakwa Shamsul lagi.
Sindiran terbuka Shamsul itu menjadi kebimbangan umum terutama syarikat koporat Melayu yang berkeupayaan tetapi masih tidak dapat memiliki projek bernilai tinggi.

Sebahagian besar projek berbilion ringgit dikuasai syarikat kontraktor asing atau syarikat berbangsa Cina yang memiliki rangkaian perniagaan luas di peringkat antarabangsa.
Tidak mustahil, kenyataan pedas Shamsul itu bakal memendekkan lagi jangka hayat beliau untuk menerajui Petronas. Waktu akan menentukannya.

Posted via Blogaway

Ahad, 22 Jun 2014

KM akan tarik larangan sementara terhadap MP Pakatan

Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem akan menarik larangan ke atas beberapa ahli Parlimen Pakatan Rakyat untuk masuk ke Sarawak, bagi membolehkan mereka menghadiri pengebumian ADUN Bukit Assek, Wong Ho Leng.
Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok, yang merupakan antara nama dalam senarai larangan tersebut, berkata ia disampaikan kepada beliau oleh setiausaha peribadi Adenan, Mustapa Han.
"Ia tidak jelas pada peringkat ini sama ada penarikan larangan itu hanya sementara dan untuk tujuan khusus ini," kata Teresa (kanan) dalam satu kenyataan.
Wong meninggal dunia akibat kanser otak malam tadi.
Awal hari ini, Teresa menggesa kerajaan Sarawak membenarkan pemimpin Pakatan menghadiri pengebumian Wong.
Naib pengerusi DAP Kebangsaan Teresa Kok berkata beliau dan ramai lagi ahli parlimen (MP) telah dihalang memasuki Sarawak.
"Ketua Menteri Sarawak telahpun berkata di banyak acara yang kerajaan beliau akan mengamalkan autonomi imigresen dan menghalang pelampau kaum dan agama dari memasuki Sarawak.
"Tetapi saya hairan mengapa saya dan rakan Pakatan dihalang masuk
kerana kami bukannya pelampau kaum dan agama," kata beliau dalam kenyataan hari ini.
"Hari ini saya telahpun menghantar faks kepada pejabat ketua menteri Sarawak untuk merayu kepada beliau agar larangan kepada saya dan MP Pakatan diangkat agar kami boleh menghadiri pengkebumian Wong Selasa depan," tambahnya.
Menurut Teresa, Wong bukan saja rakan seperjuangan beliau dalam parti tetapi seorang kawan rapat yang amat dikagumi kerana prinsip beliau terhadap keadilan dan kesaksamaan dalam politik, kebijaksanaan dan kepetahan berbicara dalam bahasa Inggeris dan Cina.
"Beliau akan dirindui rakan seperjuangan dalam DAP. Beliau turut akan diingati sebagai MP pertama Pakatan Rakyat dari Sarawak apabila memenangi Pilihan Raya Kecil Subu pada 2010, kemenangan yang diberi jolokan 'Keajaiban Sibu'."

Posted via Blogaway

Wong Ho Leng, ADUN Bukit Assek meninggal dunia

PETALING JAYA: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) DAP Bukit Assek, Wong Ho Leng disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 10.50 malam Sabtu akibat kanser.

Perkara itu disahkan oleh Ibu Pejabat DAP Kebangsaan sebentar tadi.

Terdahulu, The Star melaporkan Hong Leng yang sedang menjalani rawatan tumor otak berada dalam keadaan koma di Pusat Perubatan Rejang di Sibu, Sarawak.

Isteri beliau, Irene Chang turut mengadakan sidang media untuk memaklumkan mengenai keadaan Hong Leng.

Pada Januari tahun lalu, Hong Leng mengumumkan beliau disahkan menghidap tumor otak.

Bagaimanapun, tiada Pilihan Raya Kecil (PRK) akan diadakan berdasarkan rekod sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) bermula 20 Jun 2011.

Ini kerana Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK hanya boleh diadakan tidak kurang dari tiga tahun dari tarikh pembentukan kerajaan negeri.


Posted via Blogaway

Rabu, 11 Jun 2014

Tan Sri Datuk Amar Haji Adenan Satem Terima Anugerah Daripada HRD Asia 2014

KUCHING 11 Jun - Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem hari ini menerima Anugerah HRD Asia 2014 sebagai menghargai sumbangan cemerlang beliau kepada pembangunan rakyat.

Adenan menerima anugerah itu daripada bekas Menteri Kerja Raya Bahrain, Fahmi Ali Al Jowder yang juga anggota Jawatankuasa Asia HRD Award 2014 pada upacara di pejabat Adenan di Wisma Bapa Malaysia, di sini.

Menurut kenyataan yang diedarkan kepada media selepas upacara itu, anugerah disampaikan kepada individu yang memberi sumbangan cemerlang kepada pembangunan rakyat.

Ia juga menyebut bahawa penerima adalah individu yang mempelopori usaha tanpa mengutamakan kepentingan diri ke arah memupuk inisiatif pembelajaran yang memberi kesan kepada masyarakat keseluruhan secara signifikan.

Anugerah disampaikan kepada Adenan yang memberi sumbangan luar biasa kepada pembangunan rakyat dan memberi kekuatan dan sokongan kepada kebanyakan ahli profesional dan pemimpin, kata kenyataan itu.

"Usaha cemerlang yang dilaksanakan oleh Adenan telah dan akan terus menjadi memberi inspirasi kepada ramai orang untuk mencontohi usaha murni beliau," menurut kenyataan.

Penerima anugerah itu pada masa lalu ialah bekas Presiden Filipina, Fidel V.Ramos, yang juga pengerusi Jawatankuasa Anugerah Kongres HRD ASia 2014 sekarang, Menteri Kerjasama Antarabangsa dan Pembangunan Emiriah Arab Bersatu Sheikh Lubna Khalid Al Qasimi, Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud, Fahmi Ali sendiri, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Dr Tony Fernandes dan pengasas dan pengerusi HCL Technologies dan Shiv Nadar Foundation, India, Shri Shiv Nadar.

Turut hadir pada majlis itu ialah pengasas Asia HRD Award, Datuk R.Palan.


Posted via Blogaway

Selasa, 10 Jun 2014

Petronas Carigali sahkan kebakaran sistem paip di Lawas

KUCHING: Petronas Carigali sebentar tadi mengesahkan berlaku kebakaran pada sistem perpaipan Sarawak Sabah Gas Pipeline (SSGP) miliknya awal pagi tadi.

Pejabat Petronas Wilayah Sarawak dalam satu kenyataan memaklumkan kejadian berlaku di Lawas, Sarawak kira-kira 135 kilometer dari Terminal Minyak dan Gas Sabah, Kimanis.


Posted via Blogaway

Sabtu, 7 Jun 2014

ASP Mohd Zabri, KPN Ketuai Senarai Penerima Pingat

PUTRAJAYA: Allahyarham ASP Mohd Zabri Abdul Hamid, antara perwira yang paling dikenang dalam sejarah 69 Komando, dan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar adalah antara penerima tertinggi mengetuai senarai 1,622 penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan Tahun 2014 sempena sambutan ulang tahun keputeraan rasmi Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah pada Sabtu.

Mohd Zabri, Platun Komander 2, 69 Komando, yang terkorban akibat terpijak jerangkap samar pada tahun 1975 menerima gelaran Seri Pahlawan Gagah Perkasa (S.P.) manakala Khalid dianugerahkan Darjah Panglima Mangku Negara (PMN) yang membawa gelaran 'Tan Sri'.

Pingat S.P. adalah pingat yang tertinggi sekali dan paling kanan dalam senarai keutamaan Anugerah Persekutuan.

Penganugerahan tahun ini juga membabitkan 46 penerima darjah kebesaran Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri antaranya Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Hasan Lah, Peguam Cara Negara Datuk Seri Idris Harun, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Datuk Dr Madinah Mohamad, Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Mohamed Apandi Ali, Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Tan Kok Wha.

Turut menerima PSM ialah Ahli Lembaga Penasihat Mengenai Sains, Teknologi dan Inovasi kepada Setiausaha Agung dan Ketua-Ketua Eksekutif Agensi-Agensi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Prof Emeritus Datuk Sri Dr Zakri Abdul Hamid dan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Zaleha Zahari.

Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) Datuk Prof Ir Dr Ahmad Zaidee Laidin, Pengarah Urusan Kumpulan/ Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji Datuk Paduka Ismee Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) Datuk Amar Wilson Baya anak Dandot, Pengarah Urusan Akitek Jururancang (M) Sdn Bhd Datuk Sri Esa Mohamed, Pengasas dan Pengarah Urusan Brunfield International Group Datuk Ir Gan Thian Leong.

Penerima PSM yang lain ialah Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Datuk Henry Chin Poy Wu, bekas Penasihat Media Kepada Perdana Menteri Datuk Seri Jalaludin Bahaudin, Pengerusi Media Prima Berhad Datuk Johan Jaaffar, Pengerusi Eksekutif Malton Berhad Datuk Lim Siew Choon, Pengarah Urusan Kumpulan Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) Datuk Mohamad Salim Fateh Din, Pengerusi Bloomberg TV Malaysia Datuk Seri Mohd Effendi Norwawi, Pengerusi Eksekutif Express Rail Link Sdn Bhd Datuk Seri (Dr) Mohd Nadzmi Mohd Salleh dan Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG) Datuk Seri Mohd Yussof Abdul Latiff.

Selain itu, PSM turut dianugerahkan kepada Pengerusi Eksekutif Dialog Group Berhad Dr Ngau Boon Keat, Yang Di-Pertua Majlis Datuk Persekutuan Malaysia Datuk Ooi Han Eng, Ketua Pegawai Eksekutif Mamee-Double Decker (M) Bhd Datuk Wira Pang Tee Chew, Ketua Pegawai Eksekutif Mamee-Double Decker (M) Bhd, Pengerusi Ahmad Zaki Resources Berhad Datuk Seri Raja Aman Raja Ahmad, Timbalan Pengerusi Sunway Group Datuk Seri Razman Md Hashim Che Din Md Hashim dan Ketua Persekutuan Pengakap Datuk Seri Paduka Shafie Mohd Salleh.

Pengarah Eksekutif See Hoy Chan Holdings (SHCH) Datuk Ir Teo Chiang Hong, Pengerusi Eksekutif Jopami Group Of Companies Datuk Seri Ir Abdahir Abdul Majid, Presiden Management & Science University (MSU) Prof Datuk Wira Dr Mohd Shukri Ab Yajid dan Pengarah Urusan Liziz Standaco Sdn Bhd Datuk Guok Nguong Peng.

Ketua Pegawai Eksekutif Kencana Petroleum Sdn Bhd Datuk Mokhzani Tun Dr. Mahathir, Panglima Tentera Darat Jen. Datuk Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, bekas Panglima Tentera Udara Jen (B) Datuk Seri Abdullah Ahmad.


Posted via Blogaway

Khamis, 5 Jun 2014

Kerajaan Negeri bantu ringankan beban Wong Ho Leng bekas pengerusi DAP Sarawak, biaya kos perubatan RM1 juta.

KUCHING - Penderitaan hidup bekas Pengerusi DAP Sarawak, Wong Ho Leng akibat penyakit barah otak mendapat perhatian kerajaan negeri dengan penyerahan cek bantuan kewangan sebanyak RM1 juta kepada isterinya Irene Chang, di sini hari ini.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar berkata, peruntukan itu disalurkan bagi menanggung kos perubatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek itu yang kini masih bertarung nyawa dengan penyakit yang dihadapinya sejak tahun lalu.

Katanya, meskipun wujud perbezaan fahaman politik, namun ia tidak menjadi tembok pemisah kepada kerajaan negeri untuk menghulurkan bantuan bagi meringankan beban yang ditanggung oleh keluarga Ho Leng.

"Atas dasar kemanusiaan, kerajaan negeri telah bersetuju untuk menyalurkan bantuan kewangan berjumlah RM1 juta kepada bagi menanggung sebahagian kos perubatannya," katanya pada majlis penyerahan cek bantuan di Pejabat Speaker DUN di sini sebentar tadi.

Ho Leng yang menerima rawatan di Hospital Mount Elizabeth, Singapura kini berada di Hospital Rejang, Sibu dan dikatakan masih dalam keadaan koma.


Posted via Blogaway

Ahad, 1 Jun 2014

Suami Tan Sri Rafidah Aziz meninggal dunia

SINGAPURA: Suami kepada bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz iaitu Tan Sri Mohamed Basir Ahmad meninggal dunia di Hospital Besar Singapura pada 3.51 pagi tadi.

Allahyarham yang merupakan bekas pengerusi Maybank meninggal dunia pada usia 75 tahun.

Tokoh perbankan terkenal itu turut meninggalkan seorang anak lelaki Alfian, dua anak perempuan Rohaiza dan Rohaila serta lima cucu.

Bernama melaporkan jenazah Allahyarham akan dibawa pulang ke Kuala Lumpur dengan penerbangan tengah hari ini.

Anak lelaki Allahyarham, Alfian berkata bapanya dimasukkan ke hospital itu pada petang Jumaat.

Menurut Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Singapura Datuk Husni Zai Yaacob, (Tan Sri) Mohamed Basir meninggal dunia kerana serangan jantung dan suruhanjaya tinggi itu sedang membuat persiapan untuk membawa pulang jenazah Allahyarham ke Kuala Lumpur.

Ketika hayatnya, Allahyarham pernah menjadi pengerusi Maybank selama 16 tahun, bermula sebagai pengarah pada 5 Ogos 1993 selepas berkhidmat sebagai penasihat Bank Negara Malaysia sejak 1980.

Beliau dilantik sebagai pengerusi Maybank pada 9 Okt 1993.

Posted via Blogaway


Posted via Blogaway