Rabu, 11 Jun 2014

Tan Sri Datuk Amar Haji Adenan Satem Terima Anugerah Daripada HRD Asia 2014

KUCHING 11 Jun - Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem hari ini menerima Anugerah HRD Asia 2014 sebagai menghargai sumbangan cemerlang beliau kepada pembangunan rakyat.

Adenan menerima anugerah itu daripada bekas Menteri Kerja Raya Bahrain, Fahmi Ali Al Jowder yang juga anggota Jawatankuasa Asia HRD Award 2014 pada upacara di pejabat Adenan di Wisma Bapa Malaysia, di sini.

Menurut kenyataan yang diedarkan kepada media selepas upacara itu, anugerah disampaikan kepada individu yang memberi sumbangan cemerlang kepada pembangunan rakyat.

Ia juga menyebut bahawa penerima adalah individu yang mempelopori usaha tanpa mengutamakan kepentingan diri ke arah memupuk inisiatif pembelajaran yang memberi kesan kepada masyarakat keseluruhan secara signifikan.

Anugerah disampaikan kepada Adenan yang memberi sumbangan luar biasa kepada pembangunan rakyat dan memberi kekuatan dan sokongan kepada kebanyakan ahli profesional dan pemimpin, kata kenyataan itu.

"Usaha cemerlang yang dilaksanakan oleh Adenan telah dan akan terus menjadi memberi inspirasi kepada ramai orang untuk mencontohi usaha murni beliau," menurut kenyataan.

Penerima anugerah itu pada masa lalu ialah bekas Presiden Filipina, Fidel V.Ramos, yang juga pengerusi Jawatankuasa Anugerah Kongres HRD ASia 2014 sekarang, Menteri Kerjasama Antarabangsa dan Pembangunan Emiriah Arab Bersatu Sheikh Lubna Khalid Al Qasimi, Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud, Fahmi Ali sendiri, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Dr Tony Fernandes dan pengasas dan pengerusi HCL Technologies dan Shiv Nadar Foundation, India, Shri Shiv Nadar.

Turut hadir pada majlis itu ialah pengasas Asia HRD Award, Datuk R.Palan.


Posted via Blogaway

Tiada ulasan: