Isnin, 7 Julai 2014

42 tahun tiada Dayak dalam barisan Yayasan Sarawak

KUCHING: Persatuan Graduan Dayak Sarawak (SDGA) menggesa Ketua Menteri Adenan Satem untuk meneliti pengurusan kanan barisan Yayasan Sarawak, yang dianggapnya sebagai mendiskriminasi masyarakat Dayak.
Presidennya Dusit Jaul berkata carta organisasi yang disiarkan oleh portal web Yayasan Sarawak mendedahkan bahawa semua jawatan pengurusan kanannya kini dipegang oleh orang Melayu.
“Ini sangat bahaya bagi yayasan itu untuk mempunyai hanya satu kumpulan kaum dan agama tertentu untuk memonopoli jawatan pengurusan kerana ini akan mewujudkan perasaan sakit hati dan rasa tidak puas hati di kalangan kumpulan etnik lain,” kata SDGA memberi amaran kepada kerajaan negeri, dalam satu kenyataan.
“Ini boleh menimbulkan masalah kepada kerajaan dalam usahanya mempersiapkan diri menghadapi pilihan raya negeri akan datang,” katanya.
“Sebagai seorang pemimpin yang terbukti adil dan inklusif selama ini, kami menyeru Ketua Menteri untuk membetulkan dengan segera amalan berat sebelah terhadap etnik lain di Yayasan Sarawak, di mana beliau adalah pengerusinya.”
SDGA sudah bertemu Menteri Pembangunan Tanah, James Masing mengenai isu itu
Beliau juga mengingatkan hasil pendapatan Yayasan Sarawak diperoleh daripada ses kayu melalui aktiviti pembalakan yang dijalankan di kawasan luar bandar, di mana ramai kaum Dayak menghuni dan kehidupan mereka jelas terjejas akibat aktiviti pembalakan.
Katanya, beliau sudah bertemu dengan Menteri Pembangunan Tanah, James Masing mengenai isu itu dan menggesanya untuk mewakili orang Dayak ke mesyuarat Kabinet negeri.
Ditubuhkan 42 tahun yang lalu, objektif yayasan itu adalah untuk memberikan biasiswa atau bantuan kewangan kepada mana-mana orang yang lahir di Sarawak untuk melanjutkan pelajaran di sekolah, kolej, universiti atau institusi pengajian tinggi dalam Malaysia.
Ia juga mempromosikan secara aktif peningkatan peluang-peluang pendidikan untuk rakyat Sarawak dalam negara dan di mana-mana institusi pengajian tinggi di dunia, terutamanya di universiti-universiti di Malaysia.
Setiap tahun, yayasan itu mengeluarkan sehingga RM35 juta dalam pinjaman pendidikan tinggi serta biasiswa dan dalam tempoh lima tahun yang lalu, seramai 16,660 orang Sarawak menerima bantuan kewangan itu.
Sumber : FMT

Tiada ulasan: