Khamis, 3 Julai 2014

ADUN Pelagus ‘terkeluar’ dari barisan Teras

PELAGUS: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelagus, George Lagong tidak akan termasuk dalam barisan Tenaga Rakyat Sarawak (Teras) yang akan diumumkan pada 26 Julai ini, tidak seperti sembilan ADUN lain yang dilaporkan telah disingkirkan oleh parti lama mereka (SPDP dan SUPP) yang telah menyertai parti mesra Barisan Nasional (BN) itu.
“Kita tidak akan mengambil beliau lagi kerana kes beliau berbeza. Kes beliau perlu diselesaikan dengan cara berbeza kerana fahaman politik beliau berbeza dengan kita,” kata sumber tertinggi Teras.
Beliau menambah apabila parti mengadakan Perhimpunan Tiga Tahun Sekali (TGA) pada 26 Julai, waktu itu mereka akan memohon menjadi rakan BN secara rasmi.
Walaupun demikian, sumber terbabit menekankan bahawa mereka tidak patut dilabel sebagai bukan rakan BN kerana mereka masih membawa tugas kementerian dan masih merupakan sebahagian daripada Kabinet Negeri.
“Kita masih menggunakan kereta rasmi dan dilayan seperti sebahagian daripada kerajaan BN. Jadi untuk mengatakan kami bukan dari BN adalah tidak benar,” dakwa beliau.
Lagong, ketika dihubungi, berkata bahawa beliau tidak mahu memberi komen mengenai laporan yang dilakukan Teras untuk tidak memasukkan beliau dalam barisan terbabit kerana beliau belum dimaklumkan mengenai apa-apa perkembangan.
Lagong memenangi kerusi Pelagus dengan mengunakan tiket Bebas.
“Saya akan menyeberang jambatan itu apabila saya sampai kepadanya,” katanya apabila ditanya sama ada beliau akan kembali kepada Parti Sekerja Sarawak (SWP), parti lama beliau, bagi berhadapan dengan pilihan raya negeri yang semakin dekat.
“Penduduk kawasan saya memahami keadaan saya yang tidak mempunyai Projek Kecil Luar Bandar (MRP) untuk diagihkan kepada mereka.”
Selain di Bandar Kapit, terdapat sekitar 200 rumah panjang di DUN Pelagus.
Semasa pilihan raya negeri 2011, Lagong memenangi kerusi Pelagus dengan mengunakan tiket Bebas mengalahkan calon BN (PRS) Stanley Nyiyar dan Edward Sumbang Asun dari PR (PKR) dengan majoriti 2,837 undi.

Tiada ulasan: