Rabu, 23 Julai 2014

Aktiviti pemisah Sabah, Sarawak bukan ancaman

KUCHING: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyifatkan aktiviti sekumpulan individu yang dikenali sebagai Kumpulan Sabah/Sarawak Keluar Malaysia berdemonstrasi di Padang Merdeka sebagai bukan satu ancaman serius.
Timbalan Menteri KDN Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, Malaysia mengamalkan sistem pemerintahan demokrasi, justeru rakyatnya bebas untuk bersuara, menjalankan aktiviti politik dan sosial.
“Pada saya, ia bukan menjadi masalah yang sangat besar. Yang penting masyarakat perlu mengetahui matlamat sebenar kumpulan NGO yang menganjurkan demonstrasi ini.
“Saya mengetahui individu-individu yang terlibat dalam Kumpulan Sabah/Sarawak Keluar Malaysia ini, demikian juga pasukan keselamatan kita,” katanya.
Junaidi yang juga Ahli Parlimen Santubong menambah, pasukan keselamatan akan mengambil tindakan apabila sesuatu aktiviti boleh mengancam keselamatan orang ramai atau di luar batasan undang-undang.
Majoriti rakyat Sarawak menolak
“Kita tidak menghalang selagi NGO ini bertindak mengikut batasan perundangan. Tetapi mereka juga perlu menghormati keputusan rakyat mengenai gesaan mereka yang mahukan Sabah/Sarawak keluar dari Malaysia,” jelasnya.
Majoriti rakyat Sarawak menolak kempen NGO ini kerana percaya aktiviti tersebut didalangi oleh parti pembangkang.
Kumpulan Sabah/Sarawak Keluar Malaysia yang mengadakan demonstrasi sejak beberapa hari lalu di Padang Merdeka Kuching, merancang untuk meneruskannya sehingga hari ini.
Sumber : Klik di sini

Tiada ulasan: