Ahad, 6 Julai 2014

Bilangan kerusi DUN Sarawak mungkin ditambah tahun ini

KUCHING: Bilangan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Sarawak mungkin ditambah tiga atau empat lagi pada tahun ini, kata Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Tan Sri Datuk Amar James Masing.

Sambil berharap kerusi baharu itu adalah dalam kawasan majoriti Dayak, beliau berkata ia juga lebih elok diperuntukkan kepada parti Dayak seperti PRS.

Menurutnya, daripada 71 kerusi DUN sekarang, 40 peratus ialah kerusi majoriti Dayak, manakala populasi Dayak di Sarawak ialah kira-kira 44 peratus pada ketika ini.
Pertambahan kerusi baharu majoriti Dayak itu kelak diharapkan dapat mengimbangi bilangan kerusi DUN Dayak dan populasi Dayak, katanya.

Justeru, jelasnya, PRS akan melaksanakan penilaian untuk mencadangkan agar kawasan baharu itu dalam Hulu Rajang, Selangau, Batang Ai dan Sri Aman.

Jawatankuasa bagi tujuan tersebut diketuai Ahli Majlis Tertinggi PRS Wilson Nyabong dan dibantu Ketua Wanita PRS Senator Datuk Doris Sophia Brodie serta Ketua Pemuda PRS Liwan Lagang.

“Bagaimanapun, cadangan itu adalah tertakluk kepada kelulusan Suruhanjaya Pilihan Raya,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi PRS di sini, semalam.

Sementara itu, Masing yang juga Menteri Kemajuan Tanah berkata beliau tidak akan memberi kenyataan kepada media berhubung politik menyentuh Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS).

Sebelum ini, pemimpin-pemimpin PRS, SUPP dan SPDP menentang cubaan masuk BN oleh TERAS yang ahli-ahlinya merupakan bekas pemimpin dan wakil rakyat daripada parti-parti berkenaan.

Beliau pada masa sama memberitahu, beliau telah berjumpa dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung isu tersebut pada 2 Julai lalu.

“Ia perbincangan yang amat memberangsangkan dengan Perdana Menteri,” ujarnya yang enggan mengulas lanjut.

Dalam perkembangan lain, mesyuarat itu turut menyentuh mengenai kewujudan Yayasan Teras yang berpejabat di Jalan Wan Alwi di sini.

Yayasan tersebut, menurut Masing, sedia membantu kewangan belia Dayak yang ingin mengikuti kursus-kursus teknikal. Maklumat lanjut boleh diperolehi di pejabat Yayasan Teras.

Beliau turut memaklumkan penduduk rumah panjang yang ingin membaiki rumah masing-masing boleh mendapatkan bantuan daripada Pengerusi Majlis Penasihat 1Malaysia Sarawak Datuk Joseph Salang.

Read more: http://www.theborneopost.com


Posted via Blogaway

Tiada ulasan: