Khamis, 10 Julai 2014

CIMB, RHB dan MBSB bakal bergabung bentuk bank Islam mega

KUALA LUMPUR: CIMB Group Holdings Bhd, RHB Capital Bhd dan Malaysia Building Society Bhd (MBSB) mendapat kebenaran Bank Negara Malaysia (BNM) untuk memulakan rundingan penggabungan bagi membentuk sebuah bank Islam mega yang juga kumpulan perbankan terbesar tempatan.

Kelulusan yang diterima daripada BNM membolehkan ketiga-tiga entiti berkenaan yang mempunyai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebagai pemegang saham, memulakan perbincangan dengan matlamat menggabungkan perniagaan CIMB dengan RHB, di samping membentuk sebuah francais perbankan Islam diperbesarkan melalui MBSB.

Susulan itu, ketiga-tiga pihak memeterai perjanjian eksklusif 90 hari untuk berunding dan memuktamadkan harga, struktur serta terma dan syarat berkaitan lain berhubung cadangan penggabungan itu.

Perjanjian eksklusif itu disertakan bersama peruntukan perlanjutan secara automatik sebaik saja cadangan dihantar kepada BNM.

Mengulas perkembangan itu, Ketua Eksekutif Kumpulan CIMB, Datuk Seri Nazir Razak, berkata terdapat kes prima facie penggabungan yang mencipta nilai antara ketiga-tiga entiti berkenaan.

“Kami mahu meneruskan perbincangan terperinci untuk mengesahkannya,” katanya menerusi kenyataan bersama ketiga-tiga pihak yang dikeluarkan di Kuala Lumpur, hari ini.

Pengarah Urusan Kumpulan RHB Capital, Kellee Kam pula berkata pihaknya percaya rancangan itu mempunyai nilai yang tinggi dan akan ada banyak peluang yang diwujudkan daripada cadangan penggabungan itu.

“Kami berharap dapat meneroka dengan lebih mendalam menerusi perbincangan itu kelak,” katanya.
Berhubung prospek mewujudkan sebuah bank Islam mega, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MBSB, Datuk Ahmad Zaini Othman berkata peluang menjadi sebahagian daripada kumpulan perbankan Islam mega itu adalah sangat menarik kepada kumpulan.

“Kami mahu mengambil peluang ini menuju ke hadapan,” katanya.

Saham ketiga-tiga syarikat yang digantung di Bursa Malaysia hari ini sementara menunggu pengumuman itu akan disambung semula esok.

Sementara itu, Affin Investment Bank dalam nota penyelidikannya berkata cadangan penggabungan itu bukan sesuatu yang mengejutkan berikutan ketiga-tiga syarikat terbabit mempunyai pemegang saham serupa iaitu KWSP dan CIMB akan memimpin entiti baharu yang digabungkan.

“Pengumuman peletakan jawatan Datuk Seri Nazir Razak sebagai Ketua Eksekutif Kumpulan CIMB dan dilantik sebagai Pengerusi Kumpulan difikirkan menjadi pembuka jalan bagi satu urus niaga korporat mega dilaksanakan,” kata bank pelaburan itu.

Pada masa ini, KWSP menguasai 14.5 peratus saham dalam CIMB, 41.3 peratus dalam RHB Capital dan 65 peratus dalam MBSB.

Affin Investment Bank berkata, jika cadangan penggabungan itu menjadi kenyataan, ia akan merintis pembentukan kumpulan perbankan terbesar di negara ini dengan gabungan saiz aset RM613.7 bilion, mengatasi saiz aset Malayan Banking Bhd (MAYBANK) pada RM578 bilion setakat Mac lalu.


“Cadangan penggabungan ketiga-tiga entiti ini ini, pada pandangan kami juga ialah disebabkan adanya keperluan untuk terus mengukuhkan penguasaan pasaran berikutan persaingan sengit yang wujud di tengah-tengah persekitaran perbankan domestik yang sudah menemui titik tepu,” katanya.

Sumber : Klik di sini

Tiada ulasan: