Isnin, 7 Julai 2014

Dayak jangan gaduh, bertengkar dalam politik


SIBU: Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang menggesa para pemimpin parti politik di kalangan masyarakat Dayak agar tidak bergaduh serta bertikam lidah sesama sendiri disebabkan politik.

Katanya konflik sedemikian dibimbangi akan memecahbelahkan perpaduan sesama masyarakat Dayak sendiri.

“Ingatlah tema kita iaitu ‘Segulai, Sejalai, Sepenemu’ yang mahukan kita seiring, sehaluan, sepakat dan bersatu menuju realisasi dan impian kita demi pembangunan masyarakat Dayak.
“Jika ada sesuatu masalah dalam politik cuba selesaikannya dengan baik demi kepentingan perpaduan kita sendiri,” katanya pada Majlis Ngiling Bidai Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak (SDNU) Cawangan Sibu di sini malam kelmarin.

Hadir sama bekas Panglima 9 Briged Datuk Stephen Mundaw serta isteri, Datin Jacqueline Peris, tiga Setiausaha Politik Ketua Menteri Thomas Romeo Tegong, Jefferson Jamit Unyat, Andrew Shiling Banggit, Residen Bahagian Sarikei Dahim Nadot, Pegawai Perbadanan Kraftangan Sarawak Fuad Ariffin, Pengerusi SDNU Cawangan Sibu merangkap Setiausaha Politik Ketua Menteri Tengku Gruna, Pengerusi Sarakup Indu Dayak Sarawak (SIDS) Cawangan Sibu Alice Jawan serta ketua-ketua masyarakat.

Kira-kira 800 hadirin hadir pada majlis tersebut yang dimeriahkan dengan pelbagai acara seperti persembahan seni mempertahankan diri kuntau daripada kumpulan Lang Nginau, persembahan kebudayaan, hiburan dan cabutan bertuah.

Pada majlis itu, seramai 27 anak-anak ahli SDNU Cawangan Sibu yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan awam lalu menerima insentif pendidikan.

Sementara itu, keputusan bagi Pertandingan Mengukir ‘Terabai’ (perisai) turut diumumkan dengan dimenangi Malang Jabu, diikuti Anthony Sian dan Clement Enggong masing-masing di tempat kedua dan ketiga.

Sementara itu, Jabu yang juga Menteri Pemodenan Pertanian dan Menteri Pembangunan Luar Bandar berharap segala masalah politik di kalangan masyarakat Dayak diselesaikan secara rundingan.

“Usah memperbesar isu yang kecil dan cuba selesaikan secara dalaman sahaja.

“Jika Dayak terus bergaduh dalam politik tidak mustahil perpaduan kita tergugat sekali gus boleh mencemarkan nama baik kita di mata masyarakat,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu bahawa beberapa resolusi dicapai melalui Simposium Kebudayaan Iban 2013 dan Persidangan Ketua Masyarakat Iban Sarawak 2013 yang dibincangkan dalam kabinet negeri pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) November akan datang.

Jelasnya, antara perkara dalam resolusi yang dicapai ialah melibatkan Akta Tanah membabitkan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) masyarakat Dayak di negeri ini.


“Saya telah menulis surat kepada Ketua Menteri dan beliau memberi maklum balas dengan membenarkan segala resolusi berkenaan dibincangkan pada Persidangan DUN bagi diluluskan oleh kabinet,” katanya.

Sumber : BP

Tiada ulasan: