Rabu, 16 Julai 2014

Jangan perbesar isu remeh hingga tahap ekstrem - Taib

KAPIT: Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud mengingatkan rakyat supaya tidak membawa pertikaian berhubung isu remeh ke tahap ekstrem, menyatakan ini boleh memusnahkan keharmonian dan menjejaskan kemajuan negeri.

Dalam al-Quran juga menyatakan pentingnya pemuliharaan perpaduan antara kaum untuk membolehkan mana-mana negara maju, katanya semasa merasmikan Nuzul al-Quran peringkat negeri di Masjid Jabal An-Nur di sini, malam tadi.

"Umat Islam di negara ini boleh menyambut Nuzul Al-Quran dengan penuh keyakinan kerana mereka bebas mengamalkan pegangan agama mereka.

"Begitu juga dengan penganut agama lain yang juga bebas mengamalkan ajaran agama pilihan mereka," katanya.

Taib turut menasihatkan rakyat supaya terus mengukuhkan perpaduan sesama mereka dan saling memahami antara satu sama lain.

"Jika kita tidak memahami antara satu sama lain dengan baik, kita tidak akan dapat membezakan yang baik dengan yang tidak baik," katanya.

Taib turut mengucapkan terima kasih kepada pemimpin semua kaum di Sarawak yang telah membantunya untuk menjamin keamanan dan membawa kemajuan di negeri ini semasa beliau menjadi ketua menteri.
Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem, dalam ucapannya berkata umat Islam perlu terus meningkatkan inisiatif, kreativiti dan proaktif dalam usaha mereka untuk belajar atau mengajar ilmu agama Islam.

"Umat Islam wajib belajar, memahami, menghargai dan mengamalkan ajaran Islam. Kita perlu mempamerkan nilai moral yang baik. Quran merupakan sumber rujukan kita yang paling utama dan berpengaruh," katanya.

Teks ucapan Adenan dibacakan oleh Menteri Perumahan negeri, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg.

- BERNAMA


Posted via Blogaway

Tiada ulasan: