Isnin, 7 Julai 2014

Jeffrey: Umno ambil kesempatan pertelingkahan di Sarawak

KOTA KINABALU: Pertelingkahan berterusan di antara komponen Barisan Nasional (BN) negeri mesti dihentikan supaya tidak mewujudkan sebarang ruang untuk Umno masuk di Sarawak.
Ahli politik veteran Sabah, Jeffery Kitingan ketika memberi nasihat itu berkata, pemimpin di Sarawak sepatutnya mendapat pelajaran daripada apa yang berlaku kepada rakyat Sabah dan kesilapan itu tidak seharusnya berulang.
“Setiap kali saya melawat Sarawak saya akan beritahu rakyat di sana supaya mereka tidak benarkan Umno masuk dan menjadi seperti Sabah,” kata Jeffrey yang juga Pengerusi Parti Reformasi (Star) Sabah dan Adun Bingkor.
Beliau juga berkata, jika krisis membabitkan parti komponen BN itu berterusan dan tidak diselesaikan, Umno akan menggunakannya sebagai alasan untuk memasuki dan inilah yang perlu dielakkan oleh ahli-ahli politik Sarawak.
Jeffrey merujuk kepada pertelingkahan di antara beberapa pemimpin Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan Parti Rakyat Sarawak (PRS) yang bermula apabila pemimpin PBB tidak di ikut sertakan dalam pakatan ‘penggabungan minda’ yang dimulakan oleh Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP), Parti Progresif Demokrasi Sarawak (SPDP) dan PRS yang menyebabkan keresahan di kalangan pemimpin PBB.
Menurut Jeffery, situasi politik ketika ini di Sarawak menjadi semakin kompleks dan jika tidak diselesai dengan lebih awal, ia boleh menyebabkan masalah lebih besar dan mungkin sukar mengelak kemasukan parti Umno.
Melalui inisiatif ‘penggabungan fikiran’ ini, pemimpin-pemimpin SUPP, SPDP dan PRS membuat pendirian jelas bahawa mereka tidak akan memberi mana-mana kerusi negeri yang secara tradisinya dipegang mereka kepada penjawat ketika ini yang telah meninggalkan parti untuk menyertai Parti Tenaga Rakyat Sarawak (Teras).
SPDP musnah selepas pembelotan, SUPP kini hanya ada dua kerusi
Daripada 71 kerusi di negeri ini, 35 diperuntukkan kepada PBB, 19 kepada SUPP, sembilan untuk PRS dan SPDP mempunyai lapan.
PBB mempertahankan kesemua 35 kerusi manakala PRS hilang satu daripada sembilan kerusi kepada George Lagong (bebas/Sarawak Workers Party) yang telah menyertai Teras.
SUPP hanya berjaya memenangi enam daripada 19 kerusi yang ditandinginya tetapi apabila empat daripada wakilnya memilih untuk keluar parti bagi menyertai Teras pada 15 Mei, parti itu hanya ada Francis Harden Hollis (Simanggang) dan Lee Kim Shin (Senadin).
SPDP tidak lagi ada kerusi walaupun parti itu memenangi enam kerusi dalam pilihanraya negeri lalu.
Sumber : FMT

Tiada ulasan: