Rabu, 9 Julai 2014

Kenyataan DAP berniat jahat

KUCHING: Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) mengecam kenyataan Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen yang mendakwa pentadbiran negeri ini mengamalkan kronisme, nepotisme dan rasuah.
Naib Ketua Pemuda PBB Bell Bernard Aggan, Setiausaha Agung Leonard Jambu dan Ketua Penerangan Pemuda Fazzruddin Abdul Rahman berkata Pemuda terkilan dengan tuduhan tanpa bukti yang dilemparkan oleh pemimpin DAP terhadap Ketua Menteri Adenan Satem.
Pemuda menyifatkan dakwaan itu lebih bermotifkan kepentingan politik murahan pembangkang dan berniat jahat, apa lagi semua tuduhan tidak berasas dan dibuat tanpa bukti.
Sebahagian daripada cadangan Chong sudah pun menjadi dasar dan amalan kerajaan negeri dan Barisan Nasional (BN) dalam memikirkan penambahbaikan dasar-dasar kerajaan untuk kepentingan rakyat Sarawak.
Polisi BN selama ini terbukti berjaya merubah landskap Sarawak dari segi ekonomi dan sosial dengan peningkatan pelaburan luar yang membawa lebih banyak peluang dan keuntungan kepada rakyat negeri ini.
Justeru, Pemuda yakin kepimpinan Adenan Satem mampu memacu Sarawak mencapai status negeri maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030 dengan sokongan kerajaan persekutuan.
Sumber : Klik di sini

Tiada ulasan: