Khamis, 31 Julai 2014

Pelampau agama, rasis dilarang masuk Sarawak


KUCHING: Sarawak bertegas tidak akan membenarkan golongan pelampau agama dan politik rasis memasuki negeri ini.
Ketua Menteri Adenan Haji Satem berkata, pendirian tegas itu bagi memastikan elemen-elemen negatif itu tidak menjejaskan keharmonian agama dan sosial di Sarawak.
“Kita mampu mengekalkan keharmonian agama dan sosialnya kerana rakyat mempunyai rasa hormat yang mendalam terhadap rakan-rakan yang tidak seagama dan sebangsa.
“Umat Islam hendaklah terus menunjukkan bahawa mereka sentiasa berpegang kepada keserdahaan atau Wassatiyah dalam setiap aspek kehidupan dan pandangan mereka.
“Konsep Wassatiyah adalah jalan ke arah masa hadapan yang lebih cerah kepada umat Islam di negeri ini dan juga kepada penganut-penganut agama lain,” katanya dalam ucapannya sempena hari raya.
Beliau berkata, keharmonian tersebut terus diperkukuhkan dengan sikap keserdahanaan anak-anak Sarawak dalam pelbagai aspek kehidupan harian mereka.
Menurut Adenan, kisah-kisah peperangan dan pembunuhan antara sesama agama dan sebangsa di negara-negara luar yang terpampang di kaca televisyen dan surat khabar menginsafkan bahawa betapa bernasibnya rakyat Sarawak di Bumi Kenyalang.
“Semangat perpaduan antara rakyat pelbagai agama dan keturunan yang telah dibina bersama di negeri ini menjadi kebanggaan kita. Tidak dinafikan kita mempunyai perbezaan pendapat dan pandangan, tetapi itu bukan bermakna kita tidak mampu mencapai kesepakatan,” jelasnya.
Usaha untuk mengurangkan jurang ekonomi antara bandar dan luar bandar
Toleran membawa maksud masih terdapat elemen ‘terpaksa’. Kita bukan setakat toleran terhadap orang yang berbeza dengan kita tetapi seharusnya menghormati perbezaan mereka dengan kita dari segi pegangan agama, budaya dan latar belakang keturunan, ujarnya.
Dari segi ekonomi, kata Adenan, kerajaan akan terus memberi perhatian kepada usaha untuk mengurangkan jurang ekonomi antara bandar dan luar bandar, antara orang berada dan kurang berada.
“Negeri ini mempunyai banyak sumber asli yang telah dibangunkan secara tersusun untuk mengangkat status ekonomi dan taraf hidup rakyatnya.
“Persoalan yang harus dititikberatkan ialah kaedah dan cara pembahagian kekayaan yang akan merapatkan jurang-jurang ini supaya taraf hidup rakyat mampu dipertingkatkan dengan lebih adil dan saksama,” katanya.
FMT

Tiada ulasan: