Khamis, 31 Julai 2014

PKR kecewa kenyataan AJK Pusat PAS


Kenyataan Dr Zuhdi bercanggah dengan janji PAS untuk menjunjung keadilan untuk semua kaum.
KUALA SELANGOR: Parti Keadilan Rakyat (PKR) sedih dan kesal dengan kenyataan yang dibuat oleh seorang AJK PAS Pusat dan Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS (PPP) iaitu Dr Zuhdi Marzuki yang telah bocor kepada umum.
Menurut Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli, hal ini berlaku selepas mesej ‘Whatsapp’ itu telah bocor kepada umum. Bahkan Dr Zuhdi sedikitpun tidak menafikan berkenaan mesej tersebut malah beliau cuba memberi pelbagai alasan.
“Tidak kiralah apa alasan yang diberikan oleh Dr Zuhdi, kenyataan-kenyataan beliau seperti di dalam komunikasi whatsapp tidak boleh dinafikan lagi,” katanya dalam posting blognya yang terbaru www.rafiziramli.com
Jelas Rafizi lagi, Dr Zuhdi telah mencadangkan supaya PAS keluar dari Pakatan Rakyat (PR) dan bergabung dengan Umno untuk menyokong Tan Sri Khalid Ibrahim. Malah, Dr Zuhdi turut mendakwa bahawa adanya seorang ADUN PKR yang berhasrat untuk melompat bersama-sama PAS keluar dari PR.
“Dia menyatakan perancangan bagaimana menggunakan kuasa di Selangor hasil dari penggabungan dengan Umno dan PAS itu untuk menekan bukan Melayu.
“Ayat yang digunakan olehnya bukanlah ayat yang membicarakan kemungkinan (atau senario), tetapi melambangkan sentimen kebencian dan semangat perkaumannya.
“Dia juga secara tidak langsung menyatakan persetujuan kepada tindakan-tindakan yang diambil JAIS terhadap penganut agama lain setakat ini,” katanya.
Dalam pada masa yang sama, Dr Zuhdi turut menyatakan perancangan bagaimana menggunakan kuasa di Selangor hasil dari penggabungan dengan Umno dan PAS itu untuk mengubah persempadanan pilihanraya agar berat sebelah dan mengenepikan orang bukan Melayu.
“Ini satu pengkhianatan besar kepada perjuangan menuntut pilihanraya yang adil dan bersih yang dibawa oleh rakyat, BERSIH, Pakatan Rakyat dan PAS selama ini,” ujarnya.
Jelas bahawa pandangan, cadangan dan pertimbangan Dr Zuhdi ini melanggar pelbagai dasar, ketetapan dan perjanjian yang dibuat oleh PAS, baik secara dalaman atau dengan rakan-rakan politik dan NGO lain.
Bahkan perkara tersebut turut bercanggah dengan ketetapan muktamar yang menolak Kerajaan Perpaduan dengan Umno walaupun ada pimpinan PAS yang membawa senario itu.
“Hal ini bercanggah dengan janji PAS yang menandatangani Dasar Bersama Pakatan Rakyat yang menjunjung keadilan untuk semua kaum dan menolak perkauman sempit. Ia juga bercanggah dengan janji PAS yang menandatangani Buku Jingga Pakatan Rakyat, Manifesto Rakyat Pakatan Rakyat dalam PRU13, piagam bersama BERSIH2.0 yang menggariskan langkah-langkah dasar memberi keadilan kepada semua dan membawa reformasi pilihanraya yang bersih,” ujarnya.
Rafizi turut menjelaskan bahawa perbezaan pendapat memang dibenarkan di dalam mana-mana organisasi namun, pendapat dan sentimen yang dizahirkan oleh seorang Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS ini yang lebih biasa kita dengar dari PERKASA dan ISMA memberi gambaran bahawa masih ada unsur-unsur khianat kepada prinsip PR di dalam pucuk pimpinan PAS.
“Oleh yang demikian, saya memohon supaya Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai Presiden PAS menyatakan pendirian PAS berkenaan perkara ini. Bahkan menyatakan apakah akan ada tindakan disiplin ke atas Dr Zuhdi?
“Berapa ramai lagikah dari kalangan pimpinan PAS yang berpandangan perkauman dan anti demokrasi seperti ini supaya kita tahu pendirian mereka dan bukannya bermuka-muka di depan serta mengutarakan cadangan untuk khianati PR dalam perbincangan tertutup seperti Dr Zuhdi?
Pengarah Strategik PKR itu turut menyatakan bahawa kebersamaan PAS di dalam PR yang membawa pendekatan melalui dakwah kepada orang bukan Islam telah banyak membantu meningkatkan syiar Islam.
“Pendekatan itu telah melunakkan pandangan banyak orang bukan Islam yang melihat keadilan kepada semua yang dibawa oleh Islam melalui PR, selaras dengan sifat Islam yang membawa rahmat ke seluruh alam.
“Kenyataan perkauman songsang yang dibawa oleh pimpinan PAS seperti Dr Zuhdi telah merosakkan pandangan bukan Islam terhadap mesej Islam membawa rahmat ke seluruh alam yang dibawa PAS sendiri,” ujarnya.
FMT

Tiada ulasan: