Isnin, 7 Julai 2014

SMS Letak Jawatan Palsu, Khalid Ibrahim Masih MB Selangor


Difahamkan satu sistem pesanan ringkas (SMS) yang menyebut Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah pun menyerahkan surat perletakan jawatannya kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini.
Sumber SMS itu dikatakan dikeluarkan dari Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama). Bagaimanapun, SMS berkenaan didapati palsu kerana tiada laporan berita sedemikian ditemui di laman web Bernama.
“Tan Sri Khalid Ibrahim telah menyerahkan surat perletakan jawatan beliau sebagai Menteri Besar Selangor kepada paduka Sultan Selangor.
“Exco Kerajaan Negeri Iskandar Abdul Saman telah diperkenan sebagai Menteri Besar baru bagi menggantikan Abdul Khalid dan dijangka akan mengangkat sumpah jawatan pada pukul 2 petang ini,” kata SMS itu yang dikatakan dikeluarkan Bernama.
Bagaimanapun, khabar angin perletakan jawatan Abdul Khalid memang sedang bertiup kencang dan panas selepas beliau bertubi-tubi dikritik oleh para pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkenaan cara pentadbirannya.
Ekoran SMS itu, wartawan dilihat berkumpul di hadapan Istana Kayangan di Klang dan Istana Mestika di Shah Alam bagi menunggu ketibaan Abdul Khalid, memetik laporan The Star Selepas menghubungi sumber yang terdekat dengan beliau, laporan awal dikatakan tidak benar.
Wartawan telah mula menunggu di luar istana itu sejak awal hari ini apabila mendapat tahu bahawa Abdul Khalid yang mentadbir negeri Selangor sejak 2008 akan meletakkan jawatan.
Abdul Khalid bagaimanapun sebelum ini berkata, beliau tidak akan meletakkan jawatan selagi penggal pentadbirannya belum tamat. 

Tiada ulasan: