Rabu, 9 Julai 2014

Teras layak jadi komponen BN

KUCHING: Parti Tenaga Rakyat Sarawak (Teras) layak diterima menjadi sebahagian daripada parti komponen Barisan Nasional (BN) Sarawak kerana ‘ketaatan’ pengikutnya yang terus setia memperjuangkan dasar-­dasar kerajaan.
Bekas Presiden Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) William Mawan Ikom menegaskan, pendirian beliau dan rakan-­rakannya yang terdiri daripada 10 wakil rakyat dan kabinet negeri yang menyertai Teras tidak akan berganjak daripada terus menyokong BN.
“Teras patut diberi peluang dan tempat dalam komponen BN agar kami dapat menjalankan peranan masing-­masing dalam usaha untuk membantu rakyat.
“Memang diakui Teras merupakan sebuah parti baru tetapi semua ahli yang menyertainya merupakan pemimpin-­pemimpin anggota penuh BN yang dipilih oleh rakyat,” katanya.
Mawan mengakui, tindakan ahli parti keluar dari parti komponen BN (SPDP dan SUPP) bukan satu keputusan yang mudah kerana ia telah menimbulkan keraguan segelintir pihak mengenai kesetiaan mereka terhadap BN.
“Teras ditubuhkan untuk memperkukuhkan kekuatan BN Sarawak, dan pada awal­-awal lagi, kita menyatakan bahawa perjuangan Teras tidak akan bertentangan dengan prinsip BN,” tegasnya.
Beliau percaya, Ketua Menteri selaku pengerusi BN Sarawak lebih arif akan situasi dan perjuangan sebenar Teras yang tidak mendatangkan ‘bahaya’ kepada BN.
Galak lebih ramai sertai Teras
Dalam pada itu, Mawan mengalu-­alukan penyertaan individu yang berminat dengan politik termasuk golongan muda untuk menyertai Teras.
“Teras memberi ruang kepada semua pihak untuk menyuarakan pandangan dan pendapat mereka dalam menentukan hala tuju politik dan perjuangan untuk kesejahteraan rakyat keseluruhannya,” jelasnya.

Tiada ulasan: