Isnin, 25 Ogos 2014

Jawatankuasa Protem TERAS Cabang Nangka ditubuh


SIBU: Jawatankuasa Protem Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS) Cabang Nangka telah ditubuhkan di sini, semalam.

Sehubungan itu, Radin Legan dipilih sebagai pengerusi manakala Asan Uli dipilih sebagai timbalan pengerusi.

Jawatan naib pengerusinya disandang Senin Entiri, Bandang Bangkong dan Let Embul.

Jawatan lain disandang oleh George Unggat (setiausaha), Sangga Sungo (penolong setiausaha), Lawrence Radin (bendahari) Jimbat Badi (penolong bendahari) dan Kamis Ebong (ketua penerangan).

Ahli biasa terdiri daripada Tumas Muli, Moses Entiri, Augustin Juin, Keyai Juing dan Evelin Randi.

Sementara itu, Evelyn Ajik telah dipilih sebagai ketua wanita manakala jawatan ketua pemuda dipangku Steve Nyawai.

Sumber : Borneo Post

13 Adun PAS tak akan tandatangan SD sokong Wan Azizah, kata Mustafa Ali


Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali berkata, 13 Adun tersebut tidak menandatangani sebarang SD menyatakan sokongan kepada Dr Wan Azizah seperti yang dilakukan oleh Adun PKR dan DAP.
"Tidak, perkara itu tidak berbangkit," kata Mustafa pada sidang media di ibu pejabat PAS selepas ditanya mengenai SD tersebut.
"PAS bersetuju untuk serahkan kepada perkenan Tuanku Sultan Selangor untuk menentukan siapa pengganti bagi jawatan MB Selangor," katanya.
Pengesahan Mustafa tersebut mengesahkan hanya dua Adun PAS sahaja menandatangani SD ‎menyokong Dr Wan Azizah, iaitu Adun Hulu Klang Saari Sungib dan Adun Morib Hasnul Baharuddin.
Malah, kedua-dua Adun tersebut juga masih berdepan dengan tindakan disiplin kerana membuat tindakan awal yang membelakangi keputusan parti Islam tersebut.
Ahli jawatankuasa PAS Pusat pada 17 Ogos memutuskan untuk mencalonkan nama Dr Wan Azizah dan Azmin untuk menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Keputusan tersebut menyebabkan wujudnya pertikaian di kalangan parti dalam Pakatan memandangkan PKR bertegas untuk kekal dengan Dr Wan Azizah sebagai calon tunggal MB.
Mesyuarat majlis pimpinan PR yang bermesyuarat kemudian petang itu memutuskan untuk menghantar hanya nama Dr Wan Azizah untuk dipertimbangkan istana.
Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim hari mengesahkan Pakatan sudah menghantar nama isterinya, Dr Wan Azizah kepada pihak Istana untuk diputuskan Sultan Selangor sebagai MB baru.
Anwar berkata tidak timbul isu dua nama dihantar ke istana.
"Jadi hanya satu calon dan surat itu ditandatangani pemimpin PR, Guan Eng, Mat Sabu dan saya sendiri, dan itu mencukupi," katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur.
Esok, Khalid akan mengadap akan menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah esok bagi menjelaskan kedudukannya selepas hilang kepercayaaan daripada majoriti Adun. 
Sumber : TMI

Teras, UPP tiada dalam Pemuda BN

Hanya pemimpin pemuda dari empat buah parti, Parti Pesaka Bumiputra Bersatu (PBB), Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP), Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP) dan Parti Rakyat Sarawak (PRS) akan menghadiri Persidangan Pemuda BN Sarawak.
KUCHING: Parti Tenaga Rakyat Sarawak (Teras) and Parti Bersatu Rakyat (UPP) tidak akan dijemput untuk Persidangan Pemuda Barisan Nasional (BN) walaupun sebagai pemerhati.
Ketua Belia BN Negeri, Fadillah Yusof dalam satu kenyataan berkata persidangan yang bakal diadakan pada bulan hadapan hanya akan dihadiri oleh pimpinan tertinggi pemuda dari empat buah komponen parti BN iaitu Parti Pesaka Bumiputra Bersatu (PBB), Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP), Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP), dan Parti Rakyat Sarawak (PRS).
“Salah satu tujuan (persidangan yang akan datang) ialah untuk memastikan pemimpin muda kita masih bersama BN,” tegas Fadillah. “Kepada mereka yang meninggalkan komponen, kita harus menerima hakikat tersebut. Tetapi kepada pemimpin belia yang masih ada, kita harus fokus bukan hanya berada dalam BN tetapi mendapatkan lebih banyak ahli untuk bersama BN melalui empat komponen parti kita.”
Beliau berkata usaha hanya menumpukan sokongan kepada BN tidak terjejas oleh perkembangan politik semasa ini dan pada yang sama memperkukuhkan empat buah komponen BN negeri.
Persidangan Pemuda BN Peringkat Kebangsaan di Miri tahun hadapan
Beliau berkata tujuan utama Persidangan Pemuda BN Sarawak ialah untuk membawakan isu yang berkait rapat dengan generasi muda sebagai salah satu strategi untuk meningkatkan persiapan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan awal 2016.
“Kita ingin mengkaji isu yang memberi kesan kepada belia di Sarawak baik dalam politik, ekonomi dan sosial supaya boleh di bawa kepada perhatian pihak atasan di peringkat kebangsaan. Perhatian mereka ialah peluang yang sama rata untuk belia di Sarawak di mana kita akan selesaikan isu-isu ini,” kata beliau.
Beliau juga menambah Persidangan Pemuda BN Peringkat Kebangsaan akan diadakan di Miri pada tahun hadapan dimana akan membincangkan isu yang lebih besar.
Sumber : FMT

Rabu, 20 Ogos 2014

FITNAH : ADUN Nangka digesa pengguna laman sosial buat laporan Polis terhadap pelaku


SIBU: ADUN Nangka Dr Annuar Rapaee tidak menolak kemungkinan akan membuat laporan polis terhadap dakwaan yang mengaitkan beliau secara tidak langsung "bersubahat" dalam penganjuran pertandingan Ratu Kebaya Pondan di tapak BCF Sibu semalam.

Annuar, yang dihubungi Sarawakiana sebentar tadi berkata, beliau akan berjumpa dengan pihak Majlis Agama Islam Sibu hari ini untuk meneliti laporan berkaitan dakwaan tersebut.

"Saya juga akan bertemu dengan penganjur program tersebut sebelum mempertimbangkan samada akan mengambil tindakan susulan (membuat laporan polis) atau sebaliknya."

"Sejurus dimaklumkan tentang dakwaan tersebut semalam, saya telah meminta Majlis Agama Islam Sibu segera membuat siasatan ke atas perkara berkenaan," tambah Annuar lagi.

Semalam, seorang individu yang menggunakan nama Aszfia Haris pada status akaun Facebooknya telah secara sinis mendakwa Annuar dan Majlis Islam Sibu telah "bersubahat" dalam penganjuran pertandingan Ratu Kebaya Pondan di tapak BCF Sibu.


Salah seorang daripada penganjur acara tersebut Puan Zaiton Abdul Kader menerusi akaun Facebooknya menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut sambil memberi respon berbunyi, "Tiada peserta pondan seperti khabar angin".

Walau posting dakwaan saudara Aszfia Haris tersebut telah pun dipadam, rata-rata pengamal media, khusus media sosial Facebook tidak berpuashati kerana ianya sedikit sebanyak telah mencalarkan imej ADUN Nangka dan Majlis Agama Islam Sibu.

Rata-rata di antara mereka mendesak kedua-dua pihak yang dikaitkan dengan keaiban tersebut membuat laporan polis agar tindakan sewajarnya diambil bagi mengelak perkara yang sama tidak berulang lagi.

Sumber : Sarawakiana

Selasa, 19 Ogos 2014

'Saya Hanya Tegur Najib, Bukan Suruh Letak Jawatan' - Kata Dr Mahathir


KUALA LUMPUR, 18 Ogos - Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau tidak berniat meminta Datuk Seri Najib Tun Razak meletak jawatan, sebaliknya hanya memberi teguran terhadap Perdana Menteri dalam catatan terbaru dalam blognya.

"Saya tidak kata dia (Najib) patut letak jawatan, saya cuma tidak setuju dengan sebahagian daripada dasar dia.

"Ia (teguran) itu bukan bersifat peribadi. Orang lain tak tegur dia, jadi saya tegur la," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Institut Kecemerlangan Pengajian Baitulmaqdis, Universiti Utara Malaysia (IEIJS-UUM) di sini hari ini.

Bekas perdana menteri itu dalam catatan blognya hari ini berkata, beliau menegur pentadbiran Najib kerana berpendapat pemimpin yang tidak ditegur akan percaya segala yang dilakukan oleh mereka adalah baik belaka.

Katanya, hanya apabila ditegur sahaja pemimpin akan sedar kesalahan yang dilakukan dan mungkin memperbetulkannya.

Dr Mahathir berkata beliau menegur menerusi blognya kerana telah berulang kali menegur pentadbiran Najib tetapi tiada sebarang tindakan yang diambil.

Sementara itu, mengenai penubuhan IEIJS, Dr Mahathir berkata, ia dapat membantu memberi kefahaman dalam bentuk fakta akademik kepada orang Islam dan juga bukan Islam mengenai apa yang sebenarnya berlaku di Palestin.

"Tidak banyak kajian fakta tentang Baitulmaqdis oleh ulama-ulama Islam. Hasil penubuhan institut ini, saya berharap akan ada kefahaman yang lebih baik tentang apa jua yang berlaku di sana," katanya.

- BERNAMA

Khalid membayar “harga mahal” kerana menjadi seorang berintegriti


Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata beliau kini membayar “harga mahal” kerana menjadi seseorang yang berintegriti. 

“Saya mengambil keputusan menjadi ahli politik, jadi saya kena hadapinya,” 

“Inilah harga integriti,” katanya sewaktu merasmikan serta merujuk kepada kehadiran lebih 20 orang petugas media dalam majlis persidangan integriti Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Shah Alam hari ini. 

Sewaktu ucapannya yang dihadiri kira-kira 100 orang penjawat PKNS itu, Khalid langsung tidak merujuk kepada kes politik, tetapi menyentuh keperluan untuk memegang amanah dengan integriti. 

“Saya suka memetik hadis yang dikaitkan dengan amanah – Dari Abu Hurairah R.A yang berbunyi ” Di saat amanah tidak lagi dipegang teguh, maka tunggulah saat kehancuran,” kata beliau dalam ucapannya. 

Selepas berucap, Khalid terus menutup mulut ketika diekori sekumpulan besar wartawan, yang selama ini mengikuti berita Khalid sejak beliau dipecat daripada PKR dua minggu lalu.

Beliau, bagaimanapun terus mendiamkan diri dikelilingi hampir 20 orang petugas keselamatan bagi menghalang wartawan dari menghampirinya. Khalid sebelum ini cukup terkenal dengan sifatnya yang ramah kepada pihak media tetapi kini hanya tersenyum tanpa mengeluarkan sebarang kenyataan. 

Semalam, Khalid sepatutnya menghadiri perjumpaan bulanan dengan penjawat awam anjuran Yayasan Selangor di Auditorium Jubli Perak tetapi membatalkannya kehadirannya di saat-saat akhir. Majlis tersebut hanya dihadiri oleh Exco PAS, Sallehen Mukhyi, Dr.Yunus Hairi dan Dr.Halimah Ali. “Program Perhimpunan Bulanan yang dijadualkan pada pagi Isnin 18 Ogos anjuran Yayasan Selangor dibatalkan atas sebab yang tidak dapat dielakkan. “Pihak kami memohon maaf atas segala kesulitan,” kata sekretariat akhbar dalam satu kenyataan. 

Pada petangnya pula, Khalid yang sepatutnya menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan Kelab Bolasepak Selangor di Kelab Shah Alam pada jam 5.30 petang, tetapi tidak muncul. Tempat beliau digantikan dengan Dr.Yunus yang berkata beliau diarah menggantikan Khalid. 

Jumaat lalu, Khalid berkata Sultan Selangor telah menasihatkan beliau supaya tidak membuat sebarang kenyataan sehingga baginda pulang pada 27 Ogos. “Saya telah berkomunikasi dengan DYMM Sultan Selangor berhubung perkembangan terbaharu politik di negeri ini termasuk sentimen di kalangan Adun. “DYMM Tuanku Sultan telah memberitahu yang baginda berpuas hati bahawa saya mempunyai sokongan majoriti Adun pada ketika saya menyembah taklimat pada Isnin, 11 Ogos 2014,” kata Khalid dalam satu kenyataan. 

Seterusnya, kata beliau, baginda telah menitahkan beliau supaya tidak membuat sebarang keputusan atau pengumuman berkenaan jawatan menteri besar sehingga baginda kembali pada 27 Ogos ini. 

FMT

Wakil rakyat BN diminta selesai isu remeh di kawasan mereka


KUCHING: Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem mahu semua wakil rakyat Barisan Nasional (BN) Negeri menyelesaikan isu remeh di kawasan masing-masing pada tahun ini.

Pengerusi Kelab Penyokong BN (BNBBC) Negeri Abdullah Saidol berkata, isu yang dimaksudkan turut merangkumi janji yang dibuat wakil rakyat hendaklah diselesaikan dengan segera.

Jadi menurutnya, setiap ahli BNBBC perlu bekerja lebih keras agar perkhidmatan yang diberikan sampai kepada setiap lapisan masyarakat.

“Apa yang Ketua Menteri mahukan adalah setiap janji yang dibuat tidak dibiarkan berlarutan sehingga enam bulan tanpa diselesaikan.

“Sebagai contoh, kalau berjanji hendak menghantar kipas, janganlah dibiarkan dalam tempoh lama.
“Setiap ahli BNBBC dan wakil rakyat BN perlu ingat apa yang dijanjikan,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Terdahulu Abdullah bersama ahli BNBBC yang lain bermesyuarat bersama Adenan yang juga pengerusi BN Negeri.

Namun menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop itu, perkara lebih penting adalah setiap wakil rakyat BN perlu lebih kerap turun padang.

“Kami diarahkan untuk bekerja keras kerana pilihan raya sudah hampir,” ujarnya.
Sementara itu, Setiausaha BNBBC Negeri Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, ia merupakan perjumpaan sulung BNBBC bersama Ketua Menteri.

“Dalam mesyuarat ini kami menyatakan sokongan padu kepada Tan Sri Adenan sebagai Ketua Menteri.

“Ketua Menteri juga menyampaikan pesanan agar kita bersedia awal untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang,” jelasnya.

Dalam mesyuarat itu katanya, BNBBC Negeri turut menyatakan kepada Ketua Menteri mengenai kunjungan hormat terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang diadakan tidak lama lagi.

“Kami telah mendapat kelulusan Ketua Menteri untuk berjumpa Perdana Menteri,” kata Dr Abdul Rahman. 

Sumber : Utusan Borneo

Rabu, 13 Ogos 2014

Pemecatan semua exco mendapat perkenan Sultan

Semalam pada jam 2 petang, Khalid telah mengutuskan surat kepada Sultan Selangor dan surat itu telah dibalas dalam waktu dua jam
SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menjelaskan bahawa penamatan khidmat exco tersebut sah dan sudah mendapat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Menurutnya, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) telah mengadakan mesyuarat seperti biasa dengan korum yang mencukupi bersama empat ahli MMKN dan tiga pegawai Ex-officio.
“Jumlah ini memadai dan sah mengikut Artikel 53 (2) (b) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor yang menetapkan sekurang-kurangnya mempunyai empat anggota MMKN untuk mentadbir negeri secara sah,” katanya sewaktu sidang media di SUK, hari ini.
Khalid turut menjelaskan bahawa semalam pada jam 2 petang, beliau telah mengutuskan surat kepada Sultan Selangor dan surat itu telah dibalas dalam waktu dua jam.
“Kita berpendapat bahawa 5 Exco tersebut tidak boleh diteruskan perkhidmatan mereka setelah mengeluarkan kenyataan bersama untuk tidak mahu mempunyai sebarang hubungan dengan MB dan hanya menghadiri mesyuarat MMKN bagi memantau perjalanan kerajaan negeri serta hanya akan menurut kehendak parti yang mereka dukung.
“Kenyataan ini sekaligus bercanggah dengan 10 Aku Janji dan Sumpah Kesetiaan yang telah dilafazkan ketika mengangkat sumpah di hadapan Sultan Selangor.
Beliau berharap rakyat Selangor tidak lagi keliru dengan situasi ini kerana penamatan khidmat exco-exco ini dibuat secara sah mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
“Saya berharap rakyat Selangor bertenang kerana pentadbiran kerajaan negeri berjalan seperti biasa manakala agenda membela kebajikan untuk rakyat akan diteruskan dan diutamakan,” ujarnya.
Baginda telah membalas surat tersebut dengan menyatakan, “Beta tiada halangan jika Tan Sri sebagai Menteri Besar menamatkan khidmat mereka,”.
Antara nama yang telah dipersembahkan kepada baginda adalah Elizabeth Wong, Dr Daroyah Alwi, Ean Yong Hian Wah, dan juga V. Ganabatirau.
Manakala Rodziah Ismail masih belum dipecat.
“Kita tunggu sehingga dia kembali dan keputusan akan dibuat bersandar kepada sama ada beliau setuju untuk bersama saya atau tidak, jika beliau enggan, beliau akan diminta untuk melepaskan jawatannya,” katanya.
Selain itu, Khalid turut mendapat nasihat daripada Tuanku Sultan Selangor supaya meneruskan pentadbiran dengan exco yang ada.
Ujarnya Khalid lagi, beliau turut menjelaskan bahawa masa yang cukup akan diberikan supaya bekas-bekas exco dapat mengosongkan meja mereka.
“Biasanya kita bagi satu atau dua minggu untuk mengemaskini dan sehingga kini, ada dua pejabat exco yang telah dikosongkan sejak ahad lalu,” katanya.
ADUN Pelabuhan Klang itu turut menjelaskan bahawa perkara mengenai perlantikan exco daripada Umno tidak berbangkit dan beliau juga akan berbincang perkara itu dengan Sultan juga bersama exco yang sedia ada.
Khalid turut menjelaskan kepada pemberita status kerajaan sekarang ini adalah terdiri daripada PKR, DAP, PAS, dan Umno pun ada.
“Harus diingat Pakatan Rakyat bukannya satu ‘registered body’,” katanya.
Sumber : FMT

Adenan minta SUPP dan UPP berkompromi

Pendirian Adenan dan PBB seolah-olah menampung UPP dan Teras, memandangkan ahli-ahli mereka masih dalam kabinet negeri.
KUCHING: Ketua Menteri Sarawak Adenan Satem telah meminta Sarawak United People’s Party (SUPP) untuk bercakap dengan bekas rakan mereka di United People’s Party (UPP) dan berkompromi sebelum pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
Dua ahli sains politik dari Universiti Malaysia Sarawak memberikan pandangan yang berbeza apabila ditanya oleh media tempatan mengenai hal terbabit.
Prof Madya Andrew Aeria berkata, walaupun pemimpin SUPP tidak mahu bercakap dengan UPP sekarang, PRN yang akan datang masih lama, oleh itu terdapat peluang tinggi untuk satu penyelesaian dicapai.
“Saya tidak percaya bahawa pemimpin-pemimpin kanan Barisan Nasional seperti Adenan, yang juga Pengerusi BN negeri ini, akan mengizinkan perlawanan ‘free for all’,” kata Aeria.
Tetapi jika itu berlaku, yang berperang ialah pihak SUPP dan UPP – dan juga SPDP dan Teras, jika mereka gagal menyelesaikan perbezaan, mereka tidak akan dibenarkan untuk menggunakan logo BN.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Faisal S Hazis berkata pemimpin SUPP tidak akan menerima dengan baik “nasihat” untuk bercakap dengan UPP, yang berada di luar BN.
Perkara yang sama boleh dikatakan mengenai SPDP dan Teras, katanya. “Ini adalah salah satu isu utama Ketua Menteri yang perlu ditangani sebelum PRN.”
“Tetapi saya tidak melihat bagaimana mereka akan dapat duduk untuk menyelesaikan isu-isu mereka terutamanya dalam kes SUPP kerana perbezaan antara mereka sudah lama. Meskipun banyak yang menjadi taruhan parti dalam PRN 2011 dan PRU-13 yang lepas, keadaan mereka masih tetap sama.”
Faisal berkata akan terdapat rintangan yang lebih besar daripada SUPP untuk berunding dengan UPP. “UPP bukan dalam BN, jadi mengapa mesti SUPP perlu pergi dan bercakap dengan mereka?”
Adenan memberi isyarat jelas bahawa beliau menyokong UPP dan Teras
Faisal bersetuju dengan Aeria, jika isu-isu tersebut tidak diselesaikan, ia boleh membawa kepada pergaduhan antara pelbagai parti dalam PRN.
Pada masa ini, Faisal berkata pendirian Adenan dan PBB seolah-olah menampung UPP dan Teras, memandangkan ahli-ahli mereka masih dalam kabinet negeri.
“Adenan memberi isyarat jelas bahawa beliau menyokong UPP dan Teras,” katanya.
Sumber : FMT

Isnin, 4 Ogos 2014

Adenan trying to solve Sarawak BN woes

The emergence of Teras and UPP has affected the Sarawak BN's solidarity and strength and Chief Minister Adenan Satem is trying to find a solution to the problem.
SIBU: Chief Minister Adenan Satem is still working out a suitable solution to solve the problems in the Sarawak Barisan Nasional (BN) caused by the emergence of new political parties, namely Parti Tenaga Rakyat Sarawak (Teras) and the United People’s Party (UPP).
Teras and UPP are the results of internal leadership crises in the Sarawak Progressive Democratic Party (SPDP) and the Sarawak United People’s Party (SUPP) respectively.
Speaking at a Hari Raya do here last night, the chief minister said there was no doubt that the emergence of Teras and UPP has affected the Sarawak BN’s solidarity and strength to a certain extent.
“The opposition parties are cheering and may stand to gain, but I’m working out a solution. I cannot solve the problem there and then. Give me time, maybe one or two years to do so,” he said.
Both Teras and UPP have yet to be accepted into the BN. Teras is led by William Mawan, who is also the state’s Social Development and Urbanisation Minister and former SPDP president, while UPP is helmed by Wong Soon Koh, who is the state’s Local Government and Community Development Minister and former SUPP assistant secretary-general.
On the current state cabinet line-up, Adenan said he would maintain it without any changes and hence, keep Mawan and Wong.
“I want an inclusive not an exclusive government. This is the policy for us to prosper and progress,” he added. – Bernama

Jumaat, 1 Ogos 2014

Jambatan dibina terlalu rendah

Transportasi sungai tidak dapat diakses jika kontraktor meneruskan pembinaan dengan ketinggian jambatan yang telah di rencanakan.
DALAT: Penduduk di beberapa kawasan di daerah ini menggesa agar pembinaan jambatan di Jalan Kampung Tanam- Medong dihentikan buat sementara waktu.
Pembinaan jambatan tersebut melibatkan jalan di sepanjang Batang Oya yang merentasi beberapa kampung di kawasan ini seperti Kampung Medong, Kampung Kekan, Kampung Baru, Kampung Hilir, Kampung Brunei (bertentangan Bazar Dalat), Kampung Hilir, Kampung Dalat Hilir dan Kampung Tanam.
Gesaan itu dibuat oleh penduduk kampung kerana tidak senang dengan ketinggian jambatan yang di dakwa sangat rendah.
Beberapa penduduk telah mengadakan protes aman di tapak pembinaan cadangan jambatan di Sungai Dalam Dalat baru-baru ini dan telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dalat bersama-sama dengan pemilik tanah yang hanya dikenali sebagai Jambori.
“Kita mahu pihak berkuasa untuk membina jambatan yang lebih tinggi di lapan buah sungai di sepanjang laluan terbabit. Kita mengesan beberapa jambatan dibina terlalu hampir atau lebih tinggi sedikit daripada tahap jalan raya. Ini akan mengakibatkan sungai terbabit tidak dapat diakses oleh  bot sekiranya kontraktor meneruskan pembinaan dengan ketinggian jambatan seperti sekarang ini. Ia akan merugikan penduduk kampung yang menggunakan bot untuk ke ladang dan mengangkut sagu dari hutan,” jelas Jambori.
Penduduk hantar surat protes kepada JKR
Penduduk kampung juga mahu kontraktor mengalihkan beberapa pembentung di kawasan sungai yang terjejas kerana menimbulkan halangan kepada penduduk kampung terutama sekali pemilik tanah.
Beliau turut mendedahkan bahawa mereka juga menghantar surat protes kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) dengan salinan kepada Pejabar JKR di Dalat dan Mukah, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta kepada wakil rakyat.
Penduduk lain juga turut memberi komen mengenai laporan polis yang mereka lakukan selepas protes aman terbabit dan berharap pihak berkaitan memandang serius masalah ini.
FMT