Rabu, 13 Ogos 2014

Adenan minta SUPP dan UPP berkompromi

Pendirian Adenan dan PBB seolah-olah menampung UPP dan Teras, memandangkan ahli-ahli mereka masih dalam kabinet negeri.
KUCHING: Ketua Menteri Sarawak Adenan Satem telah meminta Sarawak United People’s Party (SUPP) untuk bercakap dengan bekas rakan mereka di United People’s Party (UPP) dan berkompromi sebelum pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
Dua ahli sains politik dari Universiti Malaysia Sarawak memberikan pandangan yang berbeza apabila ditanya oleh media tempatan mengenai hal terbabit.
Prof Madya Andrew Aeria berkata, walaupun pemimpin SUPP tidak mahu bercakap dengan UPP sekarang, PRN yang akan datang masih lama, oleh itu terdapat peluang tinggi untuk satu penyelesaian dicapai.
“Saya tidak percaya bahawa pemimpin-pemimpin kanan Barisan Nasional seperti Adenan, yang juga Pengerusi BN negeri ini, akan mengizinkan perlawanan ‘free for all’,” kata Aeria.
Tetapi jika itu berlaku, yang berperang ialah pihak SUPP dan UPP – dan juga SPDP dan Teras, jika mereka gagal menyelesaikan perbezaan, mereka tidak akan dibenarkan untuk menggunakan logo BN.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Faisal S Hazis berkata pemimpin SUPP tidak akan menerima dengan baik “nasihat” untuk bercakap dengan UPP, yang berada di luar BN.
Perkara yang sama boleh dikatakan mengenai SPDP dan Teras, katanya. “Ini adalah salah satu isu utama Ketua Menteri yang perlu ditangani sebelum PRN.”
“Tetapi saya tidak melihat bagaimana mereka akan dapat duduk untuk menyelesaikan isu-isu mereka terutamanya dalam kes SUPP kerana perbezaan antara mereka sudah lama. Meskipun banyak yang menjadi taruhan parti dalam PRN 2011 dan PRU-13 yang lepas, keadaan mereka masih tetap sama.”
Faisal berkata akan terdapat rintangan yang lebih besar daripada SUPP untuk berunding dengan UPP. “UPP bukan dalam BN, jadi mengapa mesti SUPP perlu pergi dan bercakap dengan mereka?”
Adenan memberi isyarat jelas bahawa beliau menyokong UPP dan Teras
Faisal bersetuju dengan Aeria, jika isu-isu tersebut tidak diselesaikan, ia boleh membawa kepada pergaduhan antara pelbagai parti dalam PRN.
Pada masa ini, Faisal berkata pendirian Adenan dan PBB seolah-olah menampung UPP dan Teras, memandangkan ahli-ahli mereka masih dalam kabinet negeri.
“Adenan memberi isyarat jelas bahawa beliau menyokong UPP dan Teras,” katanya.
Sumber : FMT

Tiada ulasan: