Jumaat, 1 Ogos 2014

Jambatan dibina terlalu rendah

Transportasi sungai tidak dapat diakses jika kontraktor meneruskan pembinaan dengan ketinggian jambatan yang telah di rencanakan.
DALAT: Penduduk di beberapa kawasan di daerah ini menggesa agar pembinaan jambatan di Jalan Kampung Tanam- Medong dihentikan buat sementara waktu.
Pembinaan jambatan tersebut melibatkan jalan di sepanjang Batang Oya yang merentasi beberapa kampung di kawasan ini seperti Kampung Medong, Kampung Kekan, Kampung Baru, Kampung Hilir, Kampung Brunei (bertentangan Bazar Dalat), Kampung Hilir, Kampung Dalat Hilir dan Kampung Tanam.
Gesaan itu dibuat oleh penduduk kampung kerana tidak senang dengan ketinggian jambatan yang di dakwa sangat rendah.
Beberapa penduduk telah mengadakan protes aman di tapak pembinaan cadangan jambatan di Sungai Dalam Dalat baru-baru ini dan telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dalat bersama-sama dengan pemilik tanah yang hanya dikenali sebagai Jambori.
“Kita mahu pihak berkuasa untuk membina jambatan yang lebih tinggi di lapan buah sungai di sepanjang laluan terbabit. Kita mengesan beberapa jambatan dibina terlalu hampir atau lebih tinggi sedikit daripada tahap jalan raya. Ini akan mengakibatkan sungai terbabit tidak dapat diakses oleh  bot sekiranya kontraktor meneruskan pembinaan dengan ketinggian jambatan seperti sekarang ini. Ia akan merugikan penduduk kampung yang menggunakan bot untuk ke ladang dan mengangkut sagu dari hutan,” jelas Jambori.
Penduduk hantar surat protes kepada JKR
Penduduk kampung juga mahu kontraktor mengalihkan beberapa pembentung di kawasan sungai yang terjejas kerana menimbulkan halangan kepada penduduk kampung terutama sekali pemilik tanah.
Beliau turut mendedahkan bahawa mereka juga menghantar surat protes kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) dengan salinan kepada Pejabar JKR di Dalat dan Mukah, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta kepada wakil rakyat.
Penduduk lain juga turut memberi komen mengenai laporan polis yang mereka lakukan selepas protes aman terbabit dan berharap pihak berkaitan memandang serius masalah ini.
FMT

Tiada ulasan: