Selasa, 19 Ogos 2014

Khalid membayar “harga mahal” kerana menjadi seorang berintegriti


Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata beliau kini membayar “harga mahal” kerana menjadi seseorang yang berintegriti. 

“Saya mengambil keputusan menjadi ahli politik, jadi saya kena hadapinya,” 

“Inilah harga integriti,” katanya sewaktu merasmikan serta merujuk kepada kehadiran lebih 20 orang petugas media dalam majlis persidangan integriti Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Shah Alam hari ini. 

Sewaktu ucapannya yang dihadiri kira-kira 100 orang penjawat PKNS itu, Khalid langsung tidak merujuk kepada kes politik, tetapi menyentuh keperluan untuk memegang amanah dengan integriti. 

“Saya suka memetik hadis yang dikaitkan dengan amanah – Dari Abu Hurairah R.A yang berbunyi ” Di saat amanah tidak lagi dipegang teguh, maka tunggulah saat kehancuran,” kata beliau dalam ucapannya. 

Selepas berucap, Khalid terus menutup mulut ketika diekori sekumpulan besar wartawan, yang selama ini mengikuti berita Khalid sejak beliau dipecat daripada PKR dua minggu lalu.

Beliau, bagaimanapun terus mendiamkan diri dikelilingi hampir 20 orang petugas keselamatan bagi menghalang wartawan dari menghampirinya. Khalid sebelum ini cukup terkenal dengan sifatnya yang ramah kepada pihak media tetapi kini hanya tersenyum tanpa mengeluarkan sebarang kenyataan. 

Semalam, Khalid sepatutnya menghadiri perjumpaan bulanan dengan penjawat awam anjuran Yayasan Selangor di Auditorium Jubli Perak tetapi membatalkannya kehadirannya di saat-saat akhir. Majlis tersebut hanya dihadiri oleh Exco PAS, Sallehen Mukhyi, Dr.Yunus Hairi dan Dr.Halimah Ali. “Program Perhimpunan Bulanan yang dijadualkan pada pagi Isnin 18 Ogos anjuran Yayasan Selangor dibatalkan atas sebab yang tidak dapat dielakkan. “Pihak kami memohon maaf atas segala kesulitan,” kata sekretariat akhbar dalam satu kenyataan. 

Pada petangnya pula, Khalid yang sepatutnya menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan Kelab Bolasepak Selangor di Kelab Shah Alam pada jam 5.30 petang, tetapi tidak muncul. Tempat beliau digantikan dengan Dr.Yunus yang berkata beliau diarah menggantikan Khalid. 

Jumaat lalu, Khalid berkata Sultan Selangor telah menasihatkan beliau supaya tidak membuat sebarang kenyataan sehingga baginda pulang pada 27 Ogos. “Saya telah berkomunikasi dengan DYMM Sultan Selangor berhubung perkembangan terbaharu politik di negeri ini termasuk sentimen di kalangan Adun. “DYMM Tuanku Sultan telah memberitahu yang baginda berpuas hati bahawa saya mempunyai sokongan majoriti Adun pada ketika saya menyembah taklimat pada Isnin, 11 Ogos 2014,” kata Khalid dalam satu kenyataan. 

Seterusnya, kata beliau, baginda telah menitahkan beliau supaya tidak membuat sebarang keputusan atau pengumuman berkenaan jawatan menteri besar sehingga baginda kembali pada 27 Ogos ini. 

FMT

Tiada ulasan: