Rabu, 13 Ogos 2014

Pemecatan semua exco mendapat perkenan Sultan

Semalam pada jam 2 petang, Khalid telah mengutuskan surat kepada Sultan Selangor dan surat itu telah dibalas dalam waktu dua jam
SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menjelaskan bahawa penamatan khidmat exco tersebut sah dan sudah mendapat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Menurutnya, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) telah mengadakan mesyuarat seperti biasa dengan korum yang mencukupi bersama empat ahli MMKN dan tiga pegawai Ex-officio.
“Jumlah ini memadai dan sah mengikut Artikel 53 (2) (b) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor yang menetapkan sekurang-kurangnya mempunyai empat anggota MMKN untuk mentadbir negeri secara sah,” katanya sewaktu sidang media di SUK, hari ini.
Khalid turut menjelaskan bahawa semalam pada jam 2 petang, beliau telah mengutuskan surat kepada Sultan Selangor dan surat itu telah dibalas dalam waktu dua jam.
“Kita berpendapat bahawa 5 Exco tersebut tidak boleh diteruskan perkhidmatan mereka setelah mengeluarkan kenyataan bersama untuk tidak mahu mempunyai sebarang hubungan dengan MB dan hanya menghadiri mesyuarat MMKN bagi memantau perjalanan kerajaan negeri serta hanya akan menurut kehendak parti yang mereka dukung.
“Kenyataan ini sekaligus bercanggah dengan 10 Aku Janji dan Sumpah Kesetiaan yang telah dilafazkan ketika mengangkat sumpah di hadapan Sultan Selangor.
Beliau berharap rakyat Selangor tidak lagi keliru dengan situasi ini kerana penamatan khidmat exco-exco ini dibuat secara sah mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
“Saya berharap rakyat Selangor bertenang kerana pentadbiran kerajaan negeri berjalan seperti biasa manakala agenda membela kebajikan untuk rakyat akan diteruskan dan diutamakan,” ujarnya.
Baginda telah membalas surat tersebut dengan menyatakan, “Beta tiada halangan jika Tan Sri sebagai Menteri Besar menamatkan khidmat mereka,”.
Antara nama yang telah dipersembahkan kepada baginda adalah Elizabeth Wong, Dr Daroyah Alwi, Ean Yong Hian Wah, dan juga V. Ganabatirau.
Manakala Rodziah Ismail masih belum dipecat.
“Kita tunggu sehingga dia kembali dan keputusan akan dibuat bersandar kepada sama ada beliau setuju untuk bersama saya atau tidak, jika beliau enggan, beliau akan diminta untuk melepaskan jawatannya,” katanya.
Selain itu, Khalid turut mendapat nasihat daripada Tuanku Sultan Selangor supaya meneruskan pentadbiran dengan exco yang ada.
Ujarnya Khalid lagi, beliau turut menjelaskan bahawa masa yang cukup akan diberikan supaya bekas-bekas exco dapat mengosongkan meja mereka.
“Biasanya kita bagi satu atau dua minggu untuk mengemaskini dan sehingga kini, ada dua pejabat exco yang telah dikosongkan sejak ahad lalu,” katanya.
ADUN Pelabuhan Klang itu turut menjelaskan bahawa perkara mengenai perlantikan exco daripada Umno tidak berbangkit dan beliau juga akan berbincang perkara itu dengan Sultan juga bersama exco yang sedia ada.
Khalid turut menjelaskan kepada pemberita status kerajaan sekarang ini adalah terdiri daripada PKR, DAP, PAS, dan Umno pun ada.
“Harus diingat Pakatan Rakyat bukannya satu ‘registered body’,” katanya.
Sumber : FMT

Tiada ulasan: