Selasa, 19 Ogos 2014

'Saya Hanya Tegur Najib, Bukan Suruh Letak Jawatan' - Kata Dr Mahathir


KUALA LUMPUR, 18 Ogos - Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau tidak berniat meminta Datuk Seri Najib Tun Razak meletak jawatan, sebaliknya hanya memberi teguran terhadap Perdana Menteri dalam catatan terbaru dalam blognya.

"Saya tidak kata dia (Najib) patut letak jawatan, saya cuma tidak setuju dengan sebahagian daripada dasar dia.

"Ia (teguran) itu bukan bersifat peribadi. Orang lain tak tegur dia, jadi saya tegur la," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Institut Kecemerlangan Pengajian Baitulmaqdis, Universiti Utara Malaysia (IEIJS-UUM) di sini hari ini.

Bekas perdana menteri itu dalam catatan blognya hari ini berkata, beliau menegur pentadbiran Najib kerana berpendapat pemimpin yang tidak ditegur akan percaya segala yang dilakukan oleh mereka adalah baik belaka.

Katanya, hanya apabila ditegur sahaja pemimpin akan sedar kesalahan yang dilakukan dan mungkin memperbetulkannya.

Dr Mahathir berkata beliau menegur menerusi blognya kerana telah berulang kali menegur pentadbiran Najib tetapi tiada sebarang tindakan yang diambil.

Sementara itu, mengenai penubuhan IEIJS, Dr Mahathir berkata, ia dapat membantu memberi kefahaman dalam bentuk fakta akademik kepada orang Islam dan juga bukan Islam mengenai apa yang sebenarnya berlaku di Palestin.

"Tidak banyak kajian fakta tentang Baitulmaqdis oleh ulama-ulama Islam. Hasil penubuhan institut ini, saya berharap akan ada kefahaman yang lebih baik tentang apa jua yang berlaku di sana," katanya.

- BERNAMA

Tiada ulasan: