Selasa, 30 September 2014

Bekas Pengarah Jabatan Penerangan Sarawak meninggal dunia

KUCHING: Bekas Pengarah Penerangan Sarawak, Resat Salleh, 60, meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada jam 2.10 pagi ini akibat komplikasi injap.

Pemangku Pengarah Penerangan Sarawak, Zaini Mohamad, berkata jenazah arwah akan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching kira-kira jam 3.45 petang, untuk dibawa ke rumah kakaknya di Kampung Tanjung di sini sebelum disemadikan di tanah perkuburan Islam Semariang.

Katanya, beliau dimaklumkan bahawa arwah sebelum ini sering menerima rawatan selepas mengadu sakit dada dan dimasukkan ke HKL beberapa minggu lalu.

Beliau berkata, Allahyarham bertugas sebagai pengarah penerangan Sarawak pada 2006 sebelum bertukar ke Ibu pejabat Penerangan di Putrajaya pada Oktober 2012 dan baru bersara wajib kira-kira tiga bulan lalu.

"Saya bekerja dengan arwah sejak beliau menjadi pengarah penerangan negeri, beliau adalah seorang yang suka berjenaka, baik hati, sentiasa fokus dengan tugasnya dalam mengangkat martabat jabatan. Takziah buat keluarganya," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Zaini berkata, allahyarham juga mempunyai pengalaman yang amat luas, antaranya pernah terbabit secara langsung dalam pembabitan Jabatan Penerangan dalam pengurusan Sukan Komanwel pada tahun 1998, serta penganjuran Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) di Kuala Lumpur pada 1989.

Katanya, Allahyarham Resat yang memulakan kariernya sebagai penolong pegawai akhbar di Jabatan Perkhidmatan Penerangan pada tahun 1976, pernah mengetuai Unit Perhubungan Awam Kementerian Penerangan pada tahun 1989, sebelum dilantik sebagai pengarah penerangan Johor pada 1995.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan empat orang anak.

Zaini berkata, orang ramai yang ingin menziarahi jenazah dan keluarganya boleh mengunjungi rumah kakak allahyarham di Kampung Tanjung di sini.

- BERNAMA

Tiada ulasan: