Khamis, 2 Oktober 2014

Bumiputera jangan salahkan kaum lain jika gagal kuasai ekonomi, kata Dr M

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kaum Bumiputera tidak boleh menyalahkan kerajaan dan kaum lain sekiranya sasaran 30% pemilikan ekuiti Bumiputera dalam ekonomi negara menjelang tahun 2020 tidak tercapai.

Beliau berkata mereka perlu menyalahkan diri sendiri kerana tidak mempertingkat daya usaha bagi memajukan diri.

"Kita tidak boleh menyalahkan orang lain dan mengharapkan mereka mengurangkan usaha demi kepentingan kita, sebaliknya kita kena betulkan diri dan berusaha lebih daripada kaum-kaum lain untuk berjaya," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi soal jawab pada Ceramah Perdana Bersama Pemikir Ulung Negara anjuran Gabungan Persatuan Pesara-Pesara Melaka di sini, hari ini. Turut hadir Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob dan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron.

Dr Mahathir berkata kaum Bumiputera diberikan banyak kelebihan daripada kerajaan khususnya dalam sektor ekonomi namun tidak digunakan dengan baik.

"Sebagai contoh, kerajaan pernah memberikan projek pembinaan kelas-kelas komputer di sekolah kepada kontraktor Melayu tetapi mereka menjual projek itu kepada orang lain," katanya.

Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata konsep berkongsi kuasa politik dan ekonomi yang diasaskan pemimpin terdahulu mampu terus menjamin kemakmuran dan keharmonian kaum di negara ini.

Sebaliknya, katanya tindakan berlumba-lumba menguasai kesemua bidang oleh sesuatu kaum mampu menggugat kestabilan dan ketenteraman dengan tindakan rusuhan berikutan perasaan terasing dan tertindas oleh kaum lain. – Bernama, 1 Oktober, 2014.

Rabu, 1 Oktober 2014

Harga minyak naik berkuatkuasa malam ini

Mulai tengah malam ini, KPDNKK mengumumkan harga runcit baharu petrol RON95 akan meningkat sebanyak 20sen kepada RM2.30 seliter.

Kenaikan ini juga melibatkan harga diesel dengan harga baharu adalah RM2.20 seliter.