Ahad, 7 Disember 2014

UPP dan TERAS tidak mungkin akan menyertai BN Sarawak

BINTULU: Harapan Parti Rakyat Bersatu (UPP) dan Parti Tenaga Rakyat Sarawak (Teras) untuk menyertai Barisan Nasional (BN) berkecai selepas BN Sarawak memutuskan untuk mengekalkan amalan terdahulu apabila parti baharu memohon untuk menyertai gabungan BN negeri.

Ketua Menteri Sarawak merangkap pengerusi BN negeri Tan Sri Adenan Satem berkata gabungan itu telah lama menerima pakai peraturan bahawa jika ada pihak membantah mana-mana parti baharu untuk menyertai BN negeri, maka mereka (parti baharu) tidak boleh masuk.

"Tidak mungkin," katanya ketika ditanya media hari ini tentang kemungkinan UPP dan Teras diterima menjadi anggota gabungan BN negeri.

Terdahulu, Adenan menghadiri perasmian Perhimpunan Agung tri-tahunan Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP) oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Dewan Suarah Bintulu.

Adenan bagaimanapun berkata walaupun parti-parti itu tidak dapat menganggotai gabungan BN negeri, itu tidak menghalang mereka yang mendakwa sebagai mesra BN untuk menjadi sebahagian daripada kerajaan.

Ketika diminta mengulas lanjut ucapannya berhubung elakkan pertandingan tiga penjuru pada pilihan raya negeri ke-11, Adenan berkata sebelum ini, pertembungan adalah antara pembangkang, BN dan calon bebas tetapi sekarang berikutan banyak isu politik, keadaan telah berubah yang mengakibatkan perpecahan undi dan menjejaskan peluang BN untuk menang.

Pada 30 Nov, Presiden Teras dan bekas Presiden SPDP Tan Sri William Mawan berkata parti itu akan memohon untuk menyertai BN dalam masa terdekat.

Bagaimanapun, pemangku presiden SPDP sekarang Datuk Seri Tiong King Sing membantah hasrat Teras.

Mawan bersama-sama empat wakil rakyat Datuk Peter Nansian (Tasik Biru), Datuk Sylvester Entrie (Marudi), Rosie Yunus (Bekenu) dan Paulus Gumbang (Batu Danau) keluar daripada SPDP pada pertengahan tahun ini dan menyertai Teras.

UPP dipimpin Datuk Seri Wong Soon Koh, Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Komuniti Sarawak, yang sebelum ini ialah penolong setiausaha agung Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) tetapi meninggalkan parti pada Mei tahun ini ekoran kemelut kepimpinan yang berlarutan dan SUPP membantah hasrat UPP untuk menyertai BN.

Selain SPDP dan SUPP, gabungan BN negeri terdiri daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu, yang menjadi tunjang gabungan BN negeri, dan Parti Rakyat Sarawak. - BERNAMA

Tiada ulasan: