Isnin, 26 Januari 2015

KENYATAAN AKHBAR KEMENTERIAN PEMBANGUNAN WANITA, KELUARGA DAN MASYARAKAT

KENYATAAN AKHBAR KEMENTERIAN PEMBANGUNAN WANITA, KELUARGA DAN MASYARAKAT

ROTAN SEHINGGA MENYEBABKAN KECEDERAAN FIZIKAL ATAU EMOSI KEPADA KANAK-KANAK

1. Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) ingin merujuk kepada liputan media berkaitan tindakan merotan anak menjadi kesalahan jenayah yang disiarkan oleh akhbar pada hari ini (25 Januari 2015) berdasarkan sidang media pada 24 Januari 2015 di Shah Alam.

2. Dalam sidang media tersebut, YB Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat memberi penerangan bahawa cadangan di dalam Rang Undang-Undang Kanak-Kanak baharu akan merangkumi perkara-perkara berikut:
i. Penyertaan kanak-kanak selaras dengan prinsip Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (Convention on the Rights of the Child, CRC);
ii. Pemansuhan hukuman sebatan ke atas kanak-kanak yang berkonflik dengan undang-undang (melakukan kesalahan jenayah);
iii. Peruntukan baharu yang membolehkan pelaksanaan konsep diversion; dan
iiii. Peruntukan baharu mengenai pelaksanaan deinstitutionalisation.

3. Pada masa ini seksyen 91 (1) (g) dalam Akta Kanak-Kanak 2001 membenarkan seseorang kanak-kanak lelaki dikenakan hukuman sebatan tidak lebih daripada 10 kali sebatan apabila disabitkan dengan kesalahan melakukan jenayah. Dalam hal ini, hukuman sebatan di Mahkamah adalah berbeza dengan hukuman merotan sama ada di sekolah atau rumah. Hukuman sebatan di Mahkamah dilakukan secara teratur mengikut prosedur yang ditetapkan undang-undang. Walau bagaimanapun, atas alasan perkembangan psikologi dan selaras dengan CRC Kementerian bercadang untuk memansuhkan hukuman tersebut.

4. Selaras dengan cadangan pemansuhan hukuman sebatan di Mahkamah tersebut, Kementerian telah meneliti perlakuan merotan kanak-kanak di kalangan masyarakat Malaysia. Pada masa ini, peruntukan yang dicadangkan dalam Rang Undang-Undang Kanak-Kanak baharu bukanlah bermaksud supaya setiap perbuatan merotan menjadi kesalahan jenayah.

5. Perlakuan merotan, sekiranya sehingga menyebabkan kecederaan fizikal atau mental boleh terjumlah kepada melakukan kesalahan jenayah. Di bawah undang-undang sedia ada pun, sebenarnya perbuatan itu telah dijadikan suatu kesalahan di bawah seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 yang boleh dihukum dengan penjara selama tempoh tidak melebihi sepuluh tahun atau denda tidak melebihi dua puluh ribu atau kedua-duanya.

6. Kementerian sedang meneliti dan memperhalusi cadangan untuk memasukkan peruntukan undang-undang yang lebih terperinci supaya apa-apa perbuatan kepada kanak-kanak sehingga menyebabkan kecederaan fizikal atau emosi kepada kanak-kanak merupakan suatu kesalahan jenayah yang boleh dikenakan hukuman penjara atau denda yang lebih tinggi. Di samping itu, Kementerian juga mempertimbangkan untuk mengadakan hukuman alternatif seperti khidmat masyarakat atau kaunseling atau kursus ke ibubapaan.

7. Selaras dengan amalan konsultasi dan engagement secara berterusan dengan semua stakeholders dan 
pihak berkepentingan, Kementerian ini akan meneruskan tradisi tersebut dalam penggubalan Rang Undang-Undang Kanak-Kanak ini.


Disediakan oleh:
Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat
Aras 35, No. 55, Persiaran Perdana, Persint 4,
62100 Putrajaya.
No.tel: 03-8323 1087

Selasa, 13 Januari 2015

Harapan UPP wakili BN masih cerah


KUCHING: Harapan Parti Rakyat Bersatu (UPP) untuk mewakili Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang dilihat masih cerah.

Ia jelas apabila pemimpin kanan BN Negeri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg mengakui bahawa  peranan komuniti Cina tidak dapat disisihkan dalam soal pentadbiran dan pembangunan.

Sehubungan itu Abang Johari yang juga Menteri Perumahan dan Menteri Pelancongan  menggesa UPP dan parti mesra BN yang lain bekerjasama dengan parti-parti BN yang lain untuk pentadbiran dan pembangunan yang lancar.

“Saya yakin pada Pilihan Raya Negeri akan datang Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem mempunyai formula untuk kita semua.

“Apa formulanya saya tidak tahu tetapi apa yang pasti Ketua Menteri mahu semua orang terlibat dalam pentadbirannya termasuk komuniti Cina.

“Jadi pada Pilihan Raya Negeri akan datang, komuniti Cina harus membuat pilihan sama ada mahu politik Sarawak atau politik Semenanjung Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Delegasi Tritahunan (TDC) Pertama UPP di KTS Garden di sini, semalam.

Tambah Abang Johari, dalam ekonomi dunia masa kini politik yang dimainkan haruslah politik yang bersatu dan mampu membawa kepada kemajuan.

Justeru, katanya sama ada parti yang diwakili anda itu dalam BN atau mesra BN kita semuanya harus bekerja sebagai satu kumpulan demi mencapai matlamat untuk menjadi negeri paling maju dalam Malaysia menjelang 2030.

Pada TDC itu semalam, Abang Johari yang mewakili Ketua Menteri turut mendoakan kejayaan UPP dalam perjuangan mereka sebagai alternatif untuk mewakili komuniti Cina dalam BN.

Abang Johari juga berharap dengan adanya UPP pada PRN akan datang, komuniti Cina akan membuat pilihan yang bijak dengan memilih parti dari Sarawak dan bukannya parti Semenanjung Malaysia untuk mewakili mereka.

Beliau bagi pihak kerajaan BN juga memberi jaminan bahawa kebajikan komuniti Cina tidak akan diabaikan sama ada dalam bidang pendidikan mahupun bidang lain.

Turut hadir, Presiden UPP Dato Sri Wong Soon Koh dan Timbalannya Datuk Dr Jerip Susil, Naib Presiden Kanan Ranum Mina, Naib Presiden merangkap Ketua Pemuda Dr Johnical Rayong Ngipa, Setiausaha Agung George Lo, Timbalan Presiden TERAS Datuk Peter Nansian Ngusie serta para delegasi.



Teras mahu bertanding di kerusi baru

KUCHING: Presiden Parti Tenaga Rakyat Sarawak (Teras), William Mawan, berkata mana-mana pihak boleh memohon untuk bertanding dalam mana-mana 11 kerusi negeri yang baru di bawah bendera Barisan Nasional (BN) tetapi keputusan muktamad terletak kepada kepimpinan tertinggi parti pemerintah.
“Mana-mana pihak boleh mengatakan mereka mahu kerusi ini atau kerusi itu, termasuk Teras, tetapi sama ada kita akan mendapat apa yang kita mahu atau tidak, hanya pucuk pimpinan sahaja yang boleh memberitahu.”
Beliau percaya lebih baik bagi semua pihak untuk menahan diri daripada mempertaruhkan tuntutan mereka dan sebaliknya serahkan perkara itu kepada pemimpin-pemimpin tertinggi.
“Peruntukan kerusi negeri adalah prerogatif Ketua Menteri sebagai pengerusi BN Sarawak yang saya percaya akan membuat keputusannya berdasarkan laporan diterimanya daripada pelbagai sumber,” katanya selepas ditanya mengenai mana-mana 11 kerusi baru untuk Teras melalui bendera BN selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa eksekutif cawangan Teras Pakan di sini semalam.
Seperti mana-mana pihak yang bertelingkah lain, Teras juga mahu bertanding di kerusi baru di bawah BN tetapi kebimbangan tertinggi parti adalah sama ada parti mereka boleh membantu BN memenangi kerusi yang ada.
FMT