Isnin, 15 Jun 2015

Tiada keadilan apabila ahli politik kritik kerabat, kata Nazri

Menteri Kebudayaan dan Pelancongan Datuk Seri Nazri Aziz menegaskan beliau tidak ada masalah disiasat polis dan akan memberi kerjasama sepenuhnya berhubung amarannya kepada Tunku Mahkota Johor.
Gambar fail The Malaysian Insider, 15 Jun, 2015
Menteri kebudayaan dan pelancongan itu berkata, beliau tidak ada masalah disiasat polis dan akan memberi kerjasama sepenuhnya.
"Saya seorang yang berpegang pada undang-undang dan akan berdepan undang-undang. Setakat ini saya tidak dipanggil... belum dipanggil lagi," katanya kepada The Malaysian Insider hari ini.
“Apabila Tunku Mahkota Johor serang Datuk Seri Najib (Razak), tiada apa boleh dilakukan terhadapnya kerana beliau dilindungi Akta Hasutan.
"Tetapi apabila saya pertahankan Najib, saya kena panggil. Sekarang kita tahulah, padangnya tidak sama rata,” katanya.
Nazri pada 13 Jun membidas Tunku Mahkota Johor kerana mengkritik Najib yang tidak hadir forum "Nothing to Hide" (Tiada apa hendak disembunyikan) bagi membincangkan isu 1Malaysia Development Bhd (1MDB) pada 5 Jun.
Tunku Ismail Sultan Ibrahim menulis di laman Facebook Johor Southern Tigers: "Bagaimana boleh diadakan suatu dialog bertajuk "Nothing2Hide" dengan mengetengahkan seorang yang ingin menyembunyikan segala-galanya? Tentu sekali dia tidak akan muncul."
"Kepada mereka yang diberikan amanah, jangan salahkan rakyat kerana hilang keyakinan dan kepercayaan terhadap anda, tetapi fikirkanlah mengapa rakyat hilang keyakinan dan kepercayaan terhadap anda," tulisnya pada posting Facebook bertarikh 5 Jun. 
Baginda merupakan presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor.
Nazri kemudiannya memberitahu Tunku Ismail supaya "menjauhi politik" jika tidak mahu "dibelasah", menurut The Star Online. 
“Saya rasa beliau harus menjauhkan diri daripada politik. Jika tidak, beliau juga akan dapat benda yang sama. Kita akan 'whack' (belasah) beliau,” beliau dipetik berkata.
Seolah-olah hendak menjawab Nazri, Tunku Ismail pada Sabtu memuat naik klip video beliau sendiri di akaun Facebook kelab bolasepak sama, tanpa berkata apa-apa, hanya membuat isyarat "marilah" dengan tangannya.
Terkini, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata polis akan menyiasat Nazri mengikut Akta Hasutan 1948 berhubung kenyataannya yang memberi amaran kepada Tunku Mahkota itu.
Menurut portal berita Malaysiakini, Khalid berkata, laporan polis dibuat terhadap Nazri, menggesa beliau disiasat atas kesalahan menghasut.
Posting Tunku Ismail di Facebook dibuat susulan ketidakhadiran Najib di forum anjuran badan bukan kerajaan, SukaGuam, yang dihadiri kira-kira 1,000 orang, selepas pihak polis mengarahkan ia dibatalkan kerana ancaman keselamatan.
Program tersebut diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), bangunan sama dengan ibu pejabat Umno, dan tindakan polis membatalkannya menerima kritikan kerana Najib sebelum ini datang berjumpa berpuluh ribu hadirin tanpa masalah.
Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, bagaimanapun, menghadiri forum tersebut dan menaiki pentas untuk berucap sebelum dihentikan polis. – 15 Jun, 2015.
Sumber : Klik di sini

Anda menteri bukan tuhan, kata TMJ kepada Nazri


Tunku Ismail mempertahan tindakannya menegur Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) atas dasar dirinya sebagai pemimpin rakyat Johor dan Malaysia.

"Anda seorang menteri, bukannya tuhan dari syurga yang tidak boleh ditegur. 

 "Jangan fikir rakyat negara ini wujud untuk memberikan anda jawatan dan kekayaan, tetapi jawatan tersebut wujud supaya anda memberikan khidmat kepada rakyat," katanya dalam kenyataan melalui laman Facebook Johor Southern Tigers, hari ini. – 15 Jun, 2015.

Sumber

Jumaat, 12 Jun 2015

PM iktiraf BN Plus, TERAS dan UPP anggap satu mandat


KUCHING: Tidak mengejutkan tetapi amat berbesar hati dengan penerimaan pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) terhadap Parti Rakyat Bersatu (UPP) dan Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS).

Timbalan Presiden UPP Datuk Dr Jerip Susil menambah, pengiktirafan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak terhadap konsep BN Plus merupakan satu mandat.

“Terima kasih kepada PM kerana memberi mandat kerana ini akan menambah langkah baru dalam kestabilan politik Sarawak.

“Ini merupakan peluang bekerjasama bawah satu payung dengan menyokong Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem dan Perdana Menteri,” katanya ketika diminta memberi reaksi susulan pengiktirafan UPP sebagai BN Plus.

Para pemimpin dan ahli-ahli UPP merupakan bekas Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), berpecah susulan pertelingkahan yang gagal diselesai.

Dr Jerip menyifatkan bantahan terhadap penerimaan UPP dan TERAS menerusi konsep BN Plus sebagai perkara biasa.

“Mereka (SUPP dan SPDP) perlu memandang jauh penyertaan kami dalam BN Plus. Ini akan membawa ke arah kestabilan politik dan keharmonian dalam keluarga BN.

“Harap pandangan seperti ini menjadi pertimbangan dalam kalangan mereka yang menentang,” katanya sambil menambah, golongan itu juga harus melihat perkembangan semasa serta kehendak rakyat mahukan pembangunan.

Sementara itu, Timbalan Presiden TERAS Datuk Peter Nansian Ngusie berkata, parti itu amat gembira dan berterima kasih kepada Najib dengan terbuka menyokong serta mengiktiraf parti itu sebagai BN Plus.

Beliau berkata sokongan Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) sudah tentu membawa makna cukup besar kepada parti dan membuktikan kesetiaan kepada BN selama ini tidak sia-sia.

“Sudah tentu TERAS sangat gembira dengan sokongan itu lebih-lebih lagi datang daripada pucuk kepimpinan BN sendiri. Parti amat terima kasih kepada Perdana Menteri juga Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem selaku Pengerusi BN Negeri.

“BN bersifat insklusif, tidak pernah mengetepi kumpulan atau mereka yang setia menyokong. Justeru selagi anda menyokong BN selagi itulah anda sebahagian daripadanya. Begitu juga dengan TERAS,” katanya ketika dihubungi semalam.

Nansian yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru berkata kini perkara paling penting ialah beliau dan parti akan terus berkhidmat untuk rakyat.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai kenyataan Najib yang secara terbuka menggesa supaya BN dan BN Plus (TERAS dan Parti Rakyat Bersatu) bekerjasama menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Najib membuat kenyataan itu ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Stadium Perpaduan dekat sini baru-baru.

TERAS ditubuh pada 2014 dan merupakan parti serpihan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) selepas wujudnya perbalahan pucuk kepimpinan dalam SPDP, dipimpin bekas presiden SPDP, Tan Sri William Mawan Ikom.

Selain Nansian dan Mawan (Pakan), tiga lagi ADUN menyertai TERAS ialah Rosey Yunus (Bekenu), Datuk Sylvester Entri Muran (Marudi) dan Paulus Palu Ngumbang (Batu Danau).

Ditanya sama ada beliau akan mempertahan kerusi Tasik Biru pada PRN nanti, Nansian berkata beliau menyerahkan sepenuhnya kepada pucuk kepimpinan BN negeri dan pusat membuat keputusan.

“Perkara itu saya serahkan kepada pucuk kepimpinan BN negeri juga pusat untuk membuat keputusan. Bagi saya, sudah tentu saya akan terus berkhidmat kepada rakyat,” ujar Nansian juga juga Menteri Muda Pembangunan Perindustrian (Pembangunan Estet Perindustrian).

Read more: http://www.theborneopost.com/2015/06/11/pm-iktiraf-bn-plus-teras-dan-upp-anggap-satu-mandat/#ixzz3crNvV3ss