Isnin, 15 Jun 2015

Tiada keadilan apabila ahli politik kritik kerabat, kata Nazri

Menteri Kebudayaan dan Pelancongan Datuk Seri Nazri Aziz menegaskan beliau tidak ada masalah disiasat polis dan akan memberi kerjasama sepenuhnya berhubung amarannya kepada Tunku Mahkota Johor.
Gambar fail The Malaysian Insider, 15 Jun, 2015
Menteri kebudayaan dan pelancongan itu berkata, beliau tidak ada masalah disiasat polis dan akan memberi kerjasama sepenuhnya.
"Saya seorang yang berpegang pada undang-undang dan akan berdepan undang-undang. Setakat ini saya tidak dipanggil... belum dipanggil lagi," katanya kepada The Malaysian Insider hari ini.
“Apabila Tunku Mahkota Johor serang Datuk Seri Najib (Razak), tiada apa boleh dilakukan terhadapnya kerana beliau dilindungi Akta Hasutan.
"Tetapi apabila saya pertahankan Najib, saya kena panggil. Sekarang kita tahulah, padangnya tidak sama rata,” katanya.
Nazri pada 13 Jun membidas Tunku Mahkota Johor kerana mengkritik Najib yang tidak hadir forum "Nothing to Hide" (Tiada apa hendak disembunyikan) bagi membincangkan isu 1Malaysia Development Bhd (1MDB) pada 5 Jun.
Tunku Ismail Sultan Ibrahim menulis di laman Facebook Johor Southern Tigers: "Bagaimana boleh diadakan suatu dialog bertajuk "Nothing2Hide" dengan mengetengahkan seorang yang ingin menyembunyikan segala-galanya? Tentu sekali dia tidak akan muncul."
"Kepada mereka yang diberikan amanah, jangan salahkan rakyat kerana hilang keyakinan dan kepercayaan terhadap anda, tetapi fikirkanlah mengapa rakyat hilang keyakinan dan kepercayaan terhadap anda," tulisnya pada posting Facebook bertarikh 5 Jun. 
Baginda merupakan presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor.
Nazri kemudiannya memberitahu Tunku Ismail supaya "menjauhi politik" jika tidak mahu "dibelasah", menurut The Star Online. 
“Saya rasa beliau harus menjauhkan diri daripada politik. Jika tidak, beliau juga akan dapat benda yang sama. Kita akan 'whack' (belasah) beliau,” beliau dipetik berkata.
Seolah-olah hendak menjawab Nazri, Tunku Ismail pada Sabtu memuat naik klip video beliau sendiri di akaun Facebook kelab bolasepak sama, tanpa berkata apa-apa, hanya membuat isyarat "marilah" dengan tangannya.
Terkini, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata polis akan menyiasat Nazri mengikut Akta Hasutan 1948 berhubung kenyataannya yang memberi amaran kepada Tunku Mahkota itu.
Menurut portal berita Malaysiakini, Khalid berkata, laporan polis dibuat terhadap Nazri, menggesa beliau disiasat atas kesalahan menghasut.
Posting Tunku Ismail di Facebook dibuat susulan ketidakhadiran Najib di forum anjuran badan bukan kerajaan, SukaGuam, yang dihadiri kira-kira 1,000 orang, selepas pihak polis mengarahkan ia dibatalkan kerana ancaman keselamatan.
Program tersebut diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), bangunan sama dengan ibu pejabat Umno, dan tindakan polis membatalkannya menerima kritikan kerana Najib sebelum ini datang berjumpa berpuluh ribu hadirin tanpa masalah.
Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, bagaimanapun, menghadiri forum tersebut dan menaiki pentas untuk berucap sebelum dihentikan polis. – 15 Jun, 2015.
Sumber : Klik di sini

Tiada ulasan: