Selasa, 8 September 2015

Bekas Setiausaha Eksekutif PKN Sertai TERAS


KUCHING: Bekas Setiausaha Eksekutif Parti Keadilan Nasional (PKN) Sarawak yang pertama, Idris Bohari hari ini mengumumkan menyertai parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS).


Menurutnya, keputusan tersebut dibuat bersandarkan situasi terkini politik di negeri ini, yang ditafsirkannya sebagai mengutamakan kepentingan rakyat.

Jelas Idris, kepemimpinan cemerlang Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem juga telah mendorongnya membuat keputusan tersebut, setelah mengisytiharkan keluar daripada parti PKR tahun lalu.

Sejajar dengan penyertaannya dalam TERAS, Idris berikrar untuk membantu Presiden parti itu di Parlimen Saratok.

"Saya pernah bertanding di parlimen tersebut atas tiket PKN menentang calon BN-SPDP, mendiang Tan Sri Peter Tinggom Kamarau dan saya yakin dengan pengalaman politik serta jaringan sedia ada, saya akan dapat membantu beliau (Tan Sri William) di kawasan tersebut," katanya.

Idris kemudian menyertai kumpulan calon Bebas melawan Datuk Abdul Wahap Aziz di Kalaka selain melawan Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Parlimen Santubong.

Pada Pilihanraya Negeri 2011, Idris menyertai PKR bertanding melawan Dr Abdul Rahman Junaidi di DUN Pantai Damai.

Menurut Idris, berdasarkan maklum balas yang diterimanya, beliau yakin Tan Sri William akan meraih sokongan rakyat Saratok kerana perwatakannya yang berjiwa rakyat dan sering mengambil berat akan masalah penduduk kampung.

Idris turut mengucapkan terima kasih kepada Naib Presiden TERAS, Kapten Zainuddin Tan Sri Hamdan yang membawanya menyertai parti tersebut.  - Sarawakiana

Tiada ulasan: