Sabtu, 5 September 2015

BN diminta pertimbang Josephine Duyuk bertanding di kerusi Marudi


KUCHING: Sekumpulan penduduk diketuai Exco SPDP Marudi Abdul Rahim Jeraiee memohon agar pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) mempertimbang mencalonkan Josephine Duyuk Tuah bertanding di kerusi Marudi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Rahim berkata permintaan itu dibuat kerana pembabitan aktif bekas ahli majlis tertinggi SPDP itu dalam aktiviti kemasyarakatan di kawasan terbabit menerusi Persatuan Penduduk Mesra Rakyat dipengerusikannya.

“Kita tidak mahu memburuk-buruk orang lain dalam mengemukakan permintaan ini. Cuma kita mahu Josephine dicalon bagi mewakili kami di kawasan ini,” katanya kepada Utusan Borneo semalam.

Menurutnya, mereka berbuat demikian juga memandangkan kerusi itu adalah milik SPDP dan sewajarnya ia dikekalkan pada PRN seterusnya.

“Surat kita sudah hantar kepada Ketua Menteri (Datuk Patinggi Tan Sri) Adenan Satem baru-baru ini.

“Kita amat berharap permohonan ini mendapat pertimbangan sewajarnya,” katanya.

Pada awal Ogos, Adenan mengumumkan Datuk Sylvester Entri Muran kekal sebagai calon di kerusi Marudi atas dasar beliau calon boleh menang.

Entri yang juga Menteri Muda Bekalan Air kini merupakan antara pemimpin Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS) selepas keluar daripada SPDP.

- Borneo Post Online

Tiada ulasan: