Ahad, 13 September 2015

Fahami istilah derma sebelum dakwa ia rasuah - SPRM


KUALA LUMPUR: Istilah derma perlu dilihat dalam konteks yang menyeluruh dan bukan hanya dinilai sebagai rasuah, kata Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, SPRM, Datuk Mustafar Ali.

Beliau menegaskan, semua pihak perlu memahami maksud sebenar istilah itu seperti yang termaktub mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

"Dalam akta kita ada perjelaskan, apa itu bentuk suapan (dalam bentuk) derma, pinjaman, wang hadiah.

"Namun, ia tidak boleh dilihat dari segi lateral. Contohnya, tengok sahaja, sudah cakap rasuah, tengok sahaja, sudah cakap rasuah," katanya semasa sidang media selepas menghadiri Kolokium Tadbir Urus dan Integriti Kerajaan Melaka Ke Arah Ikrar Integriti di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia d Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) di ibu negara.


Mengulas lanjut, Mustafar berkata, pelbagai aspek diambil kira dan disiasat sebelum mengatakan derma berkenaan sebagai rasuah.

"Kita kena lihat konteks secara keseluruhannya, siapa yang memberi, kepada siapa diberikan, apa kegunaannya, apa pengaruh digunakan dan sebagainya. Ia mempunyai favour dan disfavour.

"Jadi, semua ini bukan sahaja diperjelaskan dalam akta, tetapi juga diperjelaskan dalam lunas undang-undang sebab undang-undang itu kita perbincangkan di mahkamah termasuk apa bentuknya, niat dan perbuatannya," jelas beliau.

Justeru, beliau berharap agar semua pihak tidak cepat membuat spekulasi berhubung isu derma, sebaliknya, mengkaji dan meneliti maksud sebenar istilah itu.

"Oleh kerana itu, kita tidak boleh cepat buat persepsi. Contoh orang kahwin atau orang dapat anak, kita beri hadiah bukan? Ini tradisi di Malaysia.

"Namun, lihat konteksnya, siapa memberi dan kemungkinan dipanggil 'official deal' iaitu berkaitan dengan pekerjaan orang yang memberi dengan orang yang diberi. Cuba lihat keseluruhan konteksnya," ujarnya.

Mustafar menegaskan, bahawa jumlah derma itu tidak wajar dilihat dalam satu konteks sahaja.

"Saya ingat cukuplah penjelasan saya kerana kita tidak sepatutnya lihat pada satu konteks sahaja. Ada orang lihat dalam akta ditulis derma, dan dia cakap ini rasuah, dia persoal kenapa SPRM.

"SPRM kena siasat dulu sebelum apa-apa keputusan dibuat," ujar beliau. - Astro Awani


Tiada ulasan: