Jumaat, 11 Disember 2015

FELCRA tidak cekap, Kerajaan Perlu Campur tangan – Aidel


KUCHING: Kerajaan negeri Sarawak sepatutnya campur tangan dalam setiap penglibatan FELCRA (Federal Land Consolidation and Rehabilitation Authority) dalam pembangunan ladang kelapa sawit atas tanah-tanah milik masyarakat luar bandar di negeri ini, agar pemilik tanah atau peserta yang terlibat mendapat pulangan yang setimpal.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.20 Sadong Jaya, Ir Aidel Lariwoo membuat gesaan tersebut dalam satu sidang media di DUN Sarawak pagi tadi.

Aidel turut mendesak agar FELCRA dapat diganti dengan entiti Kerajaan yang lebih berkeupayaan untuk memberi pulangan dan hasil dividen yang lebih adil kepada peserta atau pemilik tanah yang terlibat.

Menurutnya, terdapat banyak keluhan dan rungutan peserta-peserta FELCRA tentang bayaran bonus atau diveden yang tidak setimpal dengan keluasan tanah-tanah yang mereka sertai.

“Seluas 6,286 hektar ladang FELCRA Bhd. yang melibatkan 2,995 orang peserta telah dibangunkan di Sarawak di kawasan Muara Tuang, Asajaya, Sadong Jaya, Simunjan dan Sebuyau,

“Ada di kalangan peserta yang mendakwa tanah yang berjumlah 10 ekar sudah di bangunkan oleh FELCRA sekitar 7 tahun atau 8 tahun yang lalu namun mereka hanya menerima sekitar RM700 ke RM800 ringgit sahaja setahun,

“Hal sedemikian tidak masuk akal” katanya

“Maka saya mencadang supaya peserta-peserta mengambil alih terus, agar buah-buah kelapa sawit boleh dijual oleh mereka sendiri dan tidak lagi di urus oleh FELCRA Bhd,” tegasnya

“Lagipun pengurusan FELCRA tidak cekap dan tidak memberi pulangan yang baik kepada peserta-peserta,” tambah Aidel. – Sarawak Live